PRESIDEN Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Ahmad Badrus Othman menegaskan sasaran atlet bina badan kebangsaan pada Kejohanan Dunia Bodybuilding & Physique Sports Championships 2022 di Phuket dari 6 hingga 12 Disember kali ini adalah dengan meraih satu emas.
Tambah beliau, sasaran tersebut sudah semestinya dilihat terarah kepada prospek jaguh bina badan empat kali dunia, Mike Mahen untuk menyapu bersih emas selain mengharapkan perkembangan positif dari seorang lagi atlet bina badan kebangsaan, Buda Anak Anchah.
“Sasaran kita adalah untuk mendapat satu pingat emas, dua perak dan tiga pingat gangsa untuk kejohanan dunia.
“Selalunya kita bawa satu atau dua pingat emas. Tetapi yang kita betul betul pasti adalah satu pingat emas. Kita menghantar seorang peserta yang betul betul dalam kelas dunia yang sudah biasa menang di kejohanan antarabangsa.
“Selain Mike Mahen, Buda Anak Anchah yang selalu mendapat pencapaian yang cemerlang dan kita harapkan tahun ini juga dia dapat berikan satu persembahan yang baik dengan bentuk badan yang cemerlang,” ujarnya semasa sidang media Majlis Penyerahan Bendera pasukan ke Kejohanan Dunia di Phuket pada Isnin.
Kejohanan Dunia di Phuket Thailand kali ini merupakan medan persiapan terbaik sebelum melangkah ke aksi Sukan SEA di Kemboja 2023.
Dalam Sukan SEA tahun hadapan, kem bina badan kebangsaan mensasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara tersebut sebagai sasaran realistik memandangkan saingan di peringakat Asia Tenggara tidak sesukar di peringkat dunia.
“Ia adalah persiapan untuk Sukan SEA di Kemboja dan juga Kejohanan Bina Badan ASEAN di Nepal pertengahan tahun hadapan.
“Untuk Sukan SEA , kita sasarkan dua atau tiga emas yang kita sasarkan Insha Allah,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pemilihan atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa di kejohanan peringkat negeri dan antarabangsa.
“Kita pilih atlet kita daripada prestasi semasa kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan. Kami juga akan pastikan mereka terhindar dari sebarang penggunaan bahan terlarang,” katanya.
Jawatankuasa Pemilihan MBBF telah bersidang dan bersetuju menghantar seramai 19 orang tersebut yang terdiri daripada empat orang pegawai pasukan, seorang pengadil dan 14 atlet.