PASUKAN terjun berjaya menyumbang dua pingat emas pertama untuk Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Vietnam 2021 ke-31 hari ini.

Bagi acara 1 meter papan anjal terjun wanita, Nur Dhabitah Sabri (290.45 mata) dan Kimberly Bong Qian Ping (230.00 mata) memenangi pingat emas dan perak bagi Kontinjen Malaysia. Pingat gangsa acara itu dimenangi oleh Ngo Phuong Mai (224.00 mata) dari Vietnam.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat pertama Sukan SEA Vietnam ke-31 Vietnam 2021 iaitu acara 1 meter papan anjal terjun wanita.

Beliau menyampaikan pingat emas dan perak kepada atlet Malaysia, Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong Qian Ping serta pingat gangsa kepada Ngo Phuong Mai dari Vietnam.

Bagi acara papan anjal 3 meter seirama lelaki, pasangan Chew Yiwei-Ooi Tze Liang memenangi pingat emas kedua untuk Kontinjen Malaysia.

Pingat perak acara itu dimenangi oleh pasangan tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh.

Naib Presiden MOM dan Chef de Mission Kontinjen Malaysia, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad, diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat bagi acara papan anjal 3 meter seirama terjun lelaki.

“MOM mengucapkan tahniah kepada Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong Qian Ping dan pasangan Chew Yiwei-Ooi Tze Liang atas pencapaian cemerlang mereka hari ini,” kata kenyataan yang dipetik menerusi Facebook MOM pada Ahad.