INDIA secara rasmi menarik diri daripada bidaan calon tuan rumah Piala Asia 2027 sekaligus menjadikan Arab Saudi wakil tunggal untuk menganjurkan kejohanan bola sepak terbesar Asia.

Dengan situasi ini, Arab Saudi hampir pasti dianugerahkan hak sebagai tuan rumah oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)sekaligus menjadi hos buat pertama kali dalam sejarah Piala Asia.

Menerusi bidaan yang dilakukan, Arab Saudi mencadangkan slogan “Forward for Asia” dengan tiga bandar, Riyadh, Dammam dan Jeddah dipilih sebagai tiga bandar utama dengan lapan venue ditawarkan.

 

Riyadh bakal menjadi bandar utama dengan lima stadium dicalonkan termasuk Stadium Antarabangsa Raja Fahd bakal menjadi venue terbesar dan perlawanan akhir manakala Jeddah pula akan diwakili dua stadium dan Damman satu stadium yang masih dalam pembinaan.

Piala Asia 2027 akan menyaksikan 24 pasukan akan mengambil bahagian dengan peringkat kelayakan akan bermula pada Oktober 2023 dan berakhir pada bulan Mac 2026.

Perkara ini mendapat respons yang kurang menyenangkan daripada para penyokong bola sepak Asia kerana AFC dilihat seakan-akan melebihkan kemajuan bola sepak Asia Barat berbanding Asia Timur.

Jika Arab Saudi kekal menjadi hos, ini adalah kali ketiga berturut-turut negara Asia Barat menjadi tuan rumah selepas Emiriah Arab Bersatu pada 2019, Qatar 2023 dan kini Arab Saudi pada 2027.

Dari sudut positif pula, ini adalah peluang yang baik buat Arab Saudi untuk menampilkan kemampuan mereka menjadi hos kejohanan antarabangsa selepas mereka berjaya menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Jeddah.

Selain itu, pasukan bola sepak Arab Saudi juga kini semakin meningkat naik dengan skuad utama mereka berjaya mengejutkan Argentina dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA Qatar 2022.