JURULATIH Brazil, Tite mendakwa aksinya menari ketika meraikan kemenangan 4-1 ke atas Korea Selatan pada Piala Dunia awal pagi tadi, spontan luahan kegembiraan atas persembahan berani pasukannya, sekali gus membantunya merapatkan hubungan dengan pasukan.
Pemain Brazil meluru ke arah bangku simpanan selepas Richarlison meletakkan juara dunia lima kali itu mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit perlawanan pusingan 16 terakhir mereka menentang Korea Selatan dan ketika itulah Tite menyertai tarian mereka.
“Kami cuba menyesuaikan diri dengan ciri-ciri pemain,” kata jurulatih berusia 61 tahun itu ketika ditanya mengenai tindakannya pada sidang akhbar.
“Mereka amat muda dan saya cuba menyesuaikan diri sedikit dengan bahasa mereka dan sebahagian daripada bahasa mereka adalah menari.”
Beliau berkata, sebelum perlawanan, pemain memberitahunya, mereka akan membuatnya menari bersama jika mereka menjaringkan gol.
Bagaimanapun tidak semua orang bersetuju dengan tindakannya.
Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, ketika mengulas di televisyen ITV Britain, berkata: “Orang ramai mengatakan itu budaya mereka, tetapi saya fikir ia benar-benar tidak menghormati pasukan lawan.”
Tite kelihatan sedikit tertekan untuk menjelaskan mengenainya.
“Tidak ada tafsiran lain kecuali kegembiraan terhadap gol, kegembiraan buat pasukan, kegembiraan bagi persembahan ini,” katanya.
“Tidak bermaksud tidak hormat kepada pasukan lawan mahupun terhadap (jurulatih Korea Selatan) Paulo Bento yang saya amat hormati.”
Richarlison even got Tite to dance! 😂#FIFAWorldCup pic.twitter.com/z7rhh7sU5O
— NBC Sports Soccer (@NBCSportsSoccer) December 5, 2022
Brazil mendahului 4-0 sebelum rehat menerusi jaringan Vinicius Jr, Richarlison dan Lucas Paqueta serta penalti Neymar.
Perlawanan berkesudahan 4-1 selepas pemain gantian Paik Seung-ho meraih gol sagu hati buat pasukan Asia itu.
Brazil akan menentang Croatia pada suku akhir Piala Dunia Jumaat ini.
Terdahulu Croatia menewaskan Jepun menerusi penentuan penalti selepas perlawanan pusingan 16 terakhir itu terikat 1-1. – REUTERS