MEMILIKI impian besar, satu kelebihan dalam mencipta visi masa hadapan yang dimiliki Kuhen Ravendran, remaja kelahiran Kuala Lumpur.

Biarpun pada usia 16 tahun, namun petah apabila berbicara mengenai perancangan masa hadapan terutamanya dalam sukan skuasy yang disertainya sejak kanak-kanak.

Kuhen yang ketika menyertai Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14, berkata, dia meletakkan sasaran jangka pendek dalam beberapa tahun ini untuk berada dalam kelompok lapan terbaik Asia.

Pemain remaja yang mewakili Kuala Lumpur itu sudah beberapa kali mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura berkata, dia gembira memilih sukan ini yang membuka banyak peluang buatnya.

“Impian saya adalah muncul pemain dalam kelompok lapan terbaik Asia bagi membolehkan saya layak menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara,” kata Kuhen, yang menunggu giliran untuk beraksi petang tadi.

Antara pemain remaja dari seluruh negara, yang mengambil bahagian di Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14.

 

Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang menyaksikan bintang bertaraf dunia beraksi di Terbuka Malaysia beberapa minggu lalu dan sedar apa diperlukan untuk berada di tahap pemain terkemuka dunia.

“Skuasy moden, saya rasa memerlukan semuanya baik dari segi mental dan fizikal… saya perlu pastikan aspek mental yang kuat kerana dalam skuasy, jika anda mudah menyerah kalah, anda tidak layak bermain skuasy.

“Menyaksikan pemain bertaraf dunia di Terbuka Malaysia baru-baru ini, saya sedar perjalanan saya masih terlalu jauh kerana mereka bermain perlawanan berintensiti tinggi,” kata Kuhen yang juga sebahagian daripada atlet yang mewakili Wilayah Persekutuan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) September lalu.

Bekas pemain nombor 1 dunia, Gregory Gaultier dari Perancis, menjadi idola Kuhen untuk berjaya dalam sukan skuasy.

 

Pemain muda itu, menjadikan pemain Perancis yang juga bekas pemain nombor satu dunia, Gregory Gaultier sebagai idola.

“Saya suka cara dia bermain dan saya beranggapan corak permainan saya ada persamaan dengannya.

“Saya tidak nafikan corak permainan saya banyak dipengaruhi gaya Gregory Gaultier,” katanya yang akan ke AS minggu hadapan bagi menyertai Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka AS di Philadelphia, yang dijangka berlangsung 17 hingga 20 Disember ini.

Program pembangunan skuas negara sentiasa meriah dengan sokongan padu daripada keluarga yang hadir memberi sokongan kepada atlet cilik dan juga pemain remaja.

ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL kini kembali, terima 821 penyertaan

Sementara itu, Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14 terus mendapat sambutan sebagaimana edisi lalu, apabila 821 peserta mengambil bahagian dan membabitkan peserta antarabangsa seperti dari Singapura, India, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, China, Pakistan, Mesir, Papua New Guinea, Sri Lanka, Arab Saudi, dan tuan rumah Malaysia.

Kejohanan membabitkan kategori lelaki dan perempuan Bawah 9 Tahun (B-9), B-11, B-13, B-15, B-17 dan B-19, berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil dan Pusat Skuasy Jalan Duta.