MAGHRIBI berjaya menewaskan Sepanyol untuk muncul pemenang aksi dua negara berjiran berbeza benua ini menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 sekaligus layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Setelah terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit dalam aksi yang cukup mendebarkan di Stadium Education City, pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti dengan kedua-dua pasukan berhak untuk layak ke pusingan seterusnya.

Aksi yang cukup baik dipamerkan oleh Maghribi yang dilihat berjaya mengekang asakan Sepanyol yang sebelum ini tidak pernah gagal untuk menjaringkan gol ketika peringkat kumpulan.

 

Sepanyol juga bertahan dengan baik terutama penjaga gol, Unai Simon yang cemerlang menafikan beberapa peluang terhidang buat Maghribi sepanjang perlawanan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Yassine Bounou cemerlang di gawang Maghribi apabila berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti Sepanyol sebelum Achraf Hakimi menjaringkan penalti kemenangan sekaligus membawa Maghribi pertama kali ke suku akhir Piala Dunia.

Achraf Hakimi tenang menyempurnakan penalti kemenangan Maghribi

Kemenangan Maghribi ini menjadikan mereka pasukan tunggal dari benua Afrika yang berjaya layak ke suku akhir dan berjaya memecah monopoli pasukan benua Eropah dan Amerika Selatan.

Maghribi akan bertemu pemenang antara Portugal dan Switzerland dalam satu lagi aksi yang dijangka bakal menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak seluruh dunia.