ARKITEK tengah Sabah FC, Gary Steven Robbat mengakui menerima pelawaan dari jurulatih, Nafuzi Zain untuk menyertainya bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan liga musim hadapan.
Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam rundingan. Pada masa yang sama , Sabah FC turut menawarkan kontrak lanjutan kepada Gary namun dia masih belum membuat sebarang keputusan untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.
Perpindahan itu semakin bertiup kencang kerana Gary merupakan anak jati Kulim dan mungkin menguatkan lagi hasratnya untuk ke tempat kelahirannya sendiri.
“Saya ada menerima tawaran dengan jurulatih Nafuzi sebelum ini. Sebelum dia pergi Kedah, dia ada tawarkan kepada saya.
“Saya juga masih berbincang dengan Sabah, mereka ada tawarkan kontrak lanjutan tetapi saya masih belum putuskan.
“Kalau ikut instinct saya masih kekal bersama Sabah tetapi rundingan dengan jurulatih Nafuzi untuk ke Kedah masih lagi berjalan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Gary menjelaskan jadualnya menjadi semakin sibuk setelah tamat musim kerana baru sahaja dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Sancho Niguez yang dilahirkan pada tanggal 5 November 2022.
Menurutnya, rutin harian menjadi semakin sibuk kerana baru sahaja bergelar bapa dan terpaksa menjalankan tanggungjawab menghantar anak melakukan pemeriksaan kesihatan kerana baru mencecah usia satu bulan.
“Saya tidak ke mana-mana kerana baru timang cahaya mata, anak lelaki. Anak pertama saya. Memang sekarang sibuk sebab harus bawa anak ke hospital untuk check up,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Gary memilih pasukan England sebagai pilihan untuk kempen Piala Dunia 2022 kerana berminat dengan seorang ikon bernama Steven Gerrard.
Ciri-ciri dedikasi dan komitmen yang tinggi pemain tersebut dibawa Gary ketika berada dalam kelab Sabah FC dan mempraktikkannya setiap kali diturunkan.
“Kalau ikut saya dari dulu, saya sokong England. Saya suka pasukan tersebut kerana saya suka cara Steven Gerrard bermain.
“Kesungguhan dan passion mereka membuatkan saya berminat , juga dengan komitmen mereka. Itulah yang saya bawa ke dalam permainan ketika bersama kelab,”katanya.
Gary kini masih dalam program pemulihan kerana terlibat dalam beberapa siri kecederaan ketika beraksi di Liga Malaysia.
Dia berazam untuk mengelakkan dari berdepan sebarang kecederaan pada saingan liga musim hadapan kerana berhasrat mendapatkan banyak minit permainan.