SELANGOR FC dibawah kendalian Tan Cheng Hoe kini dalam rangka persiapan pasukan bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2023 dengan mengekalkan empat tonggak utama dari musim 2022.

Gergasi Merah sedikit bergelut dalam cabaran Liga Super dan Piala FA tetapi berjaya layak ke final Piala Malaysia meskipun tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim dan kini bersedia untuk mencabar musim yang akan datang.

Menurut hantaran menerusi laman sosial rasmi kelab, empat tonggak yang dikekalkan adalah kedua-dua penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dan Sam Somerville serta pemain pertahanan, Quentin Cheng dan pemain muda berpengalaman, Mukhairi Ajmal.

Empat pemain yang dikekalkan Selangor FC

Keempat-empat pemain ini adalah antara nadi utama skuad Selangor dalam musim 2022 dengan Azhan dan Sam sama-sama mempunyai minit permainan yang hampir seimbang dengan kedua-dua mereka menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan.

Quentin Cheng pula adalah antara pemain pertahanan terbaik yang dimiliki Selangor ketika ini dan sudah tentu Tan Cheng Hoe mempunyai perancangan yang terbaik buat pemain warisan Malaysia Australia itu.

Pemain muda meningkat naik dan juga kapten skuad B23 tahun kebangsaan, Mukhairi Ajmal juga dikekalkan yang dilihat sebagai ganjaran dan rasa percaya atas kerja keras yang dilakukannya sepanjang musim berjaya membawa Selangor hingga ke final Piala Malaysia.

Beberapa pemain lagi dijangka akan dikekalkan dan mungkin ada beberapa muka baharu akan diperkenalkan oleh skuad Merah Kuning tetapi belum ada apa-apa pengesahan daripada pihak pengurusan kelab.

Selangor sudah pasti mempunyai perancangan mereka yang ampuh bagi mewujudkan satu pasukan yang mantap untuk mencabar kejuaraan liga dan kembali merebut slot ke Asia menerusi pertandingan piala yang dipertandingkan.