PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad turun padang melawat sesi latihan pasukan bola sepak lelaki bawah 23 tahun (B-23) di Padang Latihan Palace Sports Nam Dinh Province pada Isnin.
Dalam kunjungan itu, Hamidin bersama Nur Azmi melihat perkembangan semasa dua pemain negara, Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim Mamat masing-masing ditimpa masalah kecederaan ketika menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thien Truong pada 7 Mei 2022.
“Selepas menerima laporan dan pandangan doktor perubatan, kedua-dua pemain itu kemungkinan besar tidak akan diturunkan untuk perlawanan seterusnya nanti (bertemu Laos) untuk memberi ruang mereka pulih sepenuhnya.
“Namun ia bergantung kepada kondisi semasa pemain-pemain itu dan sudah pasti kita akan turunkan jika mereka sudah berada di tahap terbaik nanti.
“Buat masa ini, kita hanya meletakkan kedua-dua pemain ini dapat diturunkan bertemu Singapura pada 14 Mei 2022,” kata Hamidin dipetik dalam Facebook FAM.
Hamidin dan Nur Azmi masing-masing tidak terlepas peluang untuk memberikan kata semangat kepada pasukan muda negara yang bakal bertemu Laos di aksi kedua di venue yang sama pada 11 Mei 2022 nanti.
“Pemain-pemain negara diingatkan untuk tidak memandang rendah lawan (Laos) ekoran setiap negara kini sudah mempunyai kelebihan masing-masing dengan prestasi yang semakin meningkat,” tambah Hamidin.