KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City (KL City) FC ,Stanley Bernard Stephen Samuel menjelaskan bahawa Ketua Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak akan kekal bersama pasukan dari lembah klang tanah air pada musim hadapan meskipun menerima beberapa tawaran dari kelab lain.
“Sukacita saya ingin mengumumkan Bojan Hodak akan terus kekal bersama kami untuk musim ketiganya walaupun beliau menerima pelbagai tawaran dari seluruh pelosok benua Asia.
“Musim ketiga Bojan ini selaras dengan sasaran kelab untuk mencapai ketekalan dan daya saing sepanjang masa,” katanya menerusi ciapan Twitter rasmi Kuala Lumpur City (KL City)FC
Pesanan Stanley Bernard menuju ke 2023 — terus maju, terus mara!#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/Km28XLcvyC
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) December 7, 2022
Selain Stanley, beberapa pemain yang memberi sumbangan besar kepada kelab turut dikekalkan termasuk sedang berada dalam fasa terakhir rundingan dengan beberapa pemain lain yang belum boleh didedahkan bekas pemain Kuala Lumpur itu.
“Selain Bojan, kelab juga mengekalkan khidmat pemain-pemain yang berperanan besar dan penting dalam membantu kejayaan sejak dua musim yang lampau ini.
“Kami juga telah melaksanakan penambahan beberapa pemain yang dilakukan sebelum ini bagi memperkuatkan skuad.
“Rundingan juga sedang dimuktamadkan dengan beberapa pemain lain pada saat ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Stanley sempat bertekad memastikan kejayaan berterusan The City Boys pada saingan liga musim hadapan serta menzahirkan penghargaan kepada semua barisan kejurulatihan dan staf yang terlibat dalam memacu kelab tersebut ke tahap yang lebih tinggi saban tahun.
“Saya tekad memastikan kejayaan berterusan kelab ini dan berdasarkan pegangan saya secara peribadi mahupun profesional, bidang utama yang dititikberatkan adalah dalam menghargai dan menjamin keterlibatan individu-individu yang kerap menyumbang ke arah pencapaian kelab ini sejak detik permulaan lagi,” ujarnya.