TIKET-TIKET ke aksi final badminton Terbuka Malaysia Petronas Januari depan mendapat sambutan hangat apabila sudah hampir habis dijual menerusi jualan atas talian.

Kejohanan Badminton yang dinaikkan taraf ke 1000 daripada 750 itu kini dikategorikan sebagai salah satu empat Grand Slam dalam kejohanan badminton dunia dan menarik ramai pemain handalan.

Perkara ini sangat menggembirakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Norza Zakaria yang mahu kejohanan Terbuka Malaysia ini dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden BAM

“Terbuka Malaysia yang bertaraf 1000 kini adalah salah satu dari empat Grand Slam badminton dunia termasuk Terbuka Indonesia, Terbuka China dan Seluruh England dan ini adalah pengiktirafan dunia kepada sukan badminton tanah air.

“Tiket untuk perlawanan akhir Terbuka Malaysia Petronas sudah hampir habis manakala tiket untuk aksi lain juga laris dengan hampir 60 peratus tiket telah habis dijual secara dalam talian dan kami mahukan sokongan berterusan daripada para penyokong.

ARTIKEL BERKAITAN : Tiket Terbuka Malaysia mahal, BAM janji berbaloi buat peminat

“Saya gembira dengan perkembangan ini kerana ini membuktikan sukan badminton sangat popular di negara ini dan ianya boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seperti yang dilakukan oleh sukan Formula 1 dan Moto GP,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis anugerah di ibu kota.

Sementara itu, BAM juga bercadang untuk mengadakan majlis perpisahan kepada Chan Peng Soon dan Goh Yui Ling yang akan bersara selepas berakhirnya Terbuka Malaysia nanti bagi menghargai jasa mereka yang mengharumkan nama negara.

Chan Peng Soon-Goh Yui Ling akan diraikan dalam satu majlis perpisahan selepas berakhir Terbuka Malaysia Petronas.

Terbuka Malaysia Petronas akan berlangsung dari 10 hingga 15 Januari 2023 di Axiata Arena kini menawarkan hadiah kemenangan dan juga mata ranking yang lebih tinggi.