BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah agak canggung pada perlawanan pertama Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2022, apabila tewas mengejut kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti, dalam aksi kumpulan B.
Pasangan negara yang mempunyai rekod baik ke atas gandingan Indonesia itu, tewas 21-23, 19-21, sekali gus meletakkan mereka dalam posisi sukar untuk layak ke separuh akhir, kerana dua lagi pesaing dalam kumpulan adalah pilihan kedua dan keempat, kedua-duanya dari China.
Begitupun, prestasi dipamerkan Pearly dan Thinaah tetap boleh dipuji kerana tewas dalam keadaan memberi cabaran sengit.
“Hari ini, kami gagal laksanakan apa yang kami rancang malah saya sendiri, tidak betul-betul yakin ketika melakukan pukulan-pukulan tertentu yang selama ini menghadiahkan mata.
“Begitupun, ada juga pukulan yang dilakukan menjadi, jadi kami akan dapatkan kembali apa yang kami gagal terjemahkan dan tinggalkan kesilapan dalam perlawanan ini,” kata Thinaah.
Pearly pula berkata, kekalahan itu sudah berlalu dan mereka perlu fokus kepada perlawanan seterusnya.
Tan/Muralitharan 🇲🇾 clash with Rahayu/Ramadhanti 🇮🇩 in Group 🅱️.#BWFWorldTourFinals #Bangkok2022 pic.twitter.com/02KSUOf7uN
— BWF (@bwfmedia) December 7, 2022
“Kami bersama jurulatih akan menganalisa perlawanan hari ini dan saya rasa berdepan gandingan China esok, kami perlu positif, perlu perbaiki kombinasi kami dan juga yakin dengan pasangan kami,” kata Pearly sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, Rahayu berkata, fokus kepada setiap mata menjadi kunci kemenagan mereka.
“Set pertama kami ketinggalan dan mereka (Pearly-Thinaah) berada pada mata akhir, namnun kami kekal fokus mendapat-kan setiap mata. Kami tahu, kami tidak boleh hilang fokus walau satu mata dalam perlawanan ini,” kata Rahayu.
Esok (Khamis), Pearly-Thinaah akan berdepan pilihan keempat kejohanan, Chen Qing Chen-Jia Yu Fei, manakala Rahayu-Ramadhanti menentang pilihan kedua, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.
Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, gandingan Indonesia lebih yakin dan berani pada perlawanan pertama hari ini.
“Pemain lawan lebih positif bermain di depan net dan membuat hantara-hantaran separa gelanggang. Saya harap Pearly-Thinaah bangkit memenangi dua perlawanan menentang gandingan China, untuk melangkah ke separuh akhir,” kata Rexy.
Satu lagi beregu wanita negara dalam kumpulan A, Vivian Hoo-Lim Chew Sien turut menerima nasib sama dengan Pearly-Thinaah, apabila tewas kepada pilihan utama dari Korea, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 18-21, 19-21.
Begitupun, pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan emas Olimpik Tokyo 2020, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China.
Mereka yang tewas semua tujuh pertemuan lalu, beraksi dengan baik di Jelajah Dunia Akhir, apabila menang 21-23, 21-14, 21-16 untuk meraih mata berharga dalam saingan kumpulan B, beregu campuran.
“Puas hati bermain hari ini, semua dirancang menjadi, ini adalah kemenangan pertama kami ke atas mereka,” kata Pei Jing.
Sementara Kian Meng berkata, perlawanan hari ini sudah berakhir dan mereka perlu kembali fokus untuk perlawanan seterusnya esok.