ALISSON Becker masih kanak-kanak ketika Claudio Taffarel melayangkan badan ke kiri untuk menafikan sepakan Daniele Massaro bagi memberikan kemenangan buat skuad Selecao pada penentuan penalti mengatasi Itali pada final Piala Dunia 1994.

Hampir tiga dekad selepas membantu Brazil menang Piala Dunia keempat mereka, Taffarel sekali lagi memainkan peranan apabila skuad dari Amerika Selatan itu berusaha merangkul trofi berkenaan buat kali keenam.

Final di Rose Bowl in Pasadena itu berakhir dengan 0-0 selepas tambahan masa dan selepas cubaan itu diselamatkan Taffarel, Dunga menyempurnakannya buat Brazil sebelum Roberto Baggio menyepak melepasi palang seterusnya memberikan Brazil Piala Dunia pertama sejak dilakukan pada 1970.

Taffarel suatu masa dahulu.

“Saya pernah menjerit ‘Taffarel!’ Ia sesuatu yang dilakukan bukan hanya ketika saya kecil tetapi juga oleh ramai rakyat Brazil,” kata Alisson, yang belum berusia dua tahun apabila final berkenaan berlangsung kepada laman sesawang Globo Esporte ketika dia mengingati penjaga gol hebat itu sewaktu kecil.

Kini, Taffarel yang sudah berusia 56 tahun dan menjadi jurulatih skuad Selecao, bekerjasama dengan penjaga gol Alisson selain penjaga gol Manchester City, Ederson dan Weverton dari kelab juara Brazil, Palmeiras.

Allison selesa dengan cara Tafarel.

Ketika fokus terarah kepada jentera serangan hebat Brazil, Taffarel mengetuai trio penjaga gol terhebat dalam mana-mana skuad di Piala Dunia ketika pasukan pilihan itu bersedia menentang Croatia pada suku akhir malam esok.

“Dia adalah rujukan buat kami,” kata bintang Liverpool, Alisson, yang cemerlang ketika menang 4-1 pada kelompok 16 terakhir menentang Korea Selatan.

“Apa yang sangat mengejutkan saya apabila pertama kali bersamanya dalam pasukan kebangsaan ialah cara dia menyampaikan ilmunya yang sangat semulajadi, tanpa dipaksa. Dia memberikan impak besar ketika saya meningkat sebagai penjaga gol.”

Dilabelkan sebagai penjaga gol terhebat pernah dilahirkan Brazil, Taffarel bekerja dengan sebagai staf pasukan kebangsaan sejak 2014 tetapi tahun lalu dia berkongsi pengalaman itu bersama jurulatih penjaga gol di bawah Jurgen Klopp di Liverpool. – AFP