KETUA Jurulatih Kemboja, Ryu Hirose mengambil sikap merendah diri dengan mengakui Harimau Malaya adalah pasukan yang kuat.
“Sudah tentu, esok adalah perlawanan besar buat kami. Malaysia adalah pasukan yang bagus. Ia bukanlah tekanan yang berat buat kami kerana mereka lebih baik. Ia merupakan persiapan terbaik buat kami di saingan Piala Mitsubishi,” ujarnya dalam sidang media pra perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Biarpun hanya menjalani persiapan yang singkat kerana sebahgian pemain Kemboja baru sahaja menamatkan aksi Liga Premier di Korea, namun dia tetap optimis pasukan akan memberikan aksi terbaik untuk memperbaiki kedudukan mereka di ranking FIFA.
“Kita baru sahaja habis Liga Premier Korea. Ia hanya dalam masa yang singkat, tetapi kita tetap melakukan persiapan.
“Untuk perlawanan esok, kita cuba untuk mendapatkan sedikit mata. Sudah tentu, untuk Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, kita tidak boleh membuat ramalan terlalu awal. Kita akan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.
Jelasnya, kemunculan pemain Sarawak United, Boris Kok sudah tentu ditagih kerana memliliki potensi besar dalam pasukan Kemboja namun dia enggan mendedahkan sama ada pemain tersebut bakal diturunkan esok.
“Saya tidak boleh memberitahu sama ada dia (Boris Kok) akan diturunkan atau tidak esok. Sudah tentu, kita mahu memberikan peluang seimbang kepada semua pemain tetapi saya boleh katakan dia ada banyak potensi dalam skuad kami,” kongsinya.