PASUKAN Bawah 17 Tahun Negara (B-17) bakal berdepan dengan beberapa aksi besar tahun ini termasuk Kelayakan Piala Asia B-17 Oktober ini.

Berikutan dengan itu, skuad muda negara berpengkalan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sedang lancar menjalani latihan persiapan bagi memastikan pasukan ini layak secara merit ke pentas Asia.

Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri, pengurus pasukan, Christopher Raj telah mengadakan kunjungan ke Gambang bagi bersama-sama skuad bawah 17 tahun meraikan sambutan hari raya.

“Ini adalah kunjungan keempat saya ke AMD bagi mendapatkan perkembangan skuad muda negara yang bakal mengharungi beberapa pertandingan besar pada tahun ini.

“Selaku pengurus pasukan, saya juga berpeluang menyampaikan duit raya kepada para pemain sebagai suntikan semangat buat mereka menjelang siri pertandingan kompetitif seperti Kejohanan Piala AFF B-16 serta Kelayakan Piala AFC B-17 bermula Oktober tahun ini.

“Saya berharap, mood positif pada bulan Syawal ini dapat dikekalkan oleh mereka sekaligus membawa sinar kejayaan buat skuad bola sepak muda negara,” kongsinya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media di FAM.