PERNAH menikmati erti juara ketika remaja, menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dan kini, Sanjay Singh Chal, mula gembira dengan kerjaya sebagai seorang jurulatih.

Sanjay, 28, kini sebahagian daripada barisan kejurulatihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, membawa 57 pemain skuasy mengambil bahagian dalam Kejohanan Redtone Terbuka Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14.

Dia memulakan impian seorang kanak-kanak lelaki untuk menjadi pemain ternama ketika berusia 9 tahun, namun bersara pada usia agak muda, 25 tahun kira-kira tiga tahun lalu.

“Untuk kekal dan menjadi pemain profesional memang cabarannya besar, mahu jadi pemain profesional, individu itu hendaklah cukup profesional, iaitu mempunyai disiplin yang tingga, baik ketika menjalani latihan, berehat dan waktu tidur, pemakanan dan pelbagai lagi perlu teratur.

Sanjay Singh (kiri), dan Rachel Arnold, memenangi pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, di Kompleks Skuasy Kallang, Singapura. -Pic NSTP

“Itu akan saya lakukan jika dapat putarkan masa,” kata Sanjay, ditemui FLASH SUKAN di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Ketika mencapai tahap permainan matang, dia memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebelum mula menapak mewakili negara.

Menurutnya, sebagai seorang atlet, setiap proses itu penting sebelum akhirnya individu itu memilih untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional mahupun menukar kerjaya kepada jurulatih atau bidang pekerjaan lain.

“Saya mula menjadi jurulatih pada 2019, itupun selepas dicadangkan Pengarah Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam.

“Pada awalnya, saya ambil masa untuk terima hakikat ini kerana dalam kepala masih berfikir sebagai seorang pemain, namun lama kelamaan saya rasa seronok melihat anak didik membesar depan mata.

“Tanpa sedar, mereka yang kecil selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) kami berjumpa semula, tak sangka mereka sudah tinggi,” kata Sanjay, yang mula seronok menjadi jurulatih.

Sanjay Singh Chal akui, mindanya lebih terbuka apabila menjadi jurulatih dan menggalakkan pemain skuasy mengambil lesen jurulatih lebih awal kerana membantu pemain memahami situasi pemain dengan lebih jelas.

Dia yang lahir di Miri, Sarawak berkata, untuk menjadi seorang jurulatih, tidak dapat dielakkan mereka perlu mengambil lesen kejurulatihan yang diiktiraf Persatuan Skuasy Dunia (WSF).

“Saya sudah ada lesen jurulatih tahap 1 dan 2 manakala tahap tiga sudah selesai dua minggu lalu, dan kini saya perlu lengkapkan dengan penilaian praktikal. Lesen tahap tiga ini dikendalikan sendiri Mejar Maniam, manakala tahap 1 dahulu saya ambil di Sarawak dan tahap 2 di Singapura,” kata Sanjay yang pernah menyumbang pingat emas Sukan SEA 2015, bersama Rachel Arnold.

Pemilik Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya ini, berkata, tidak patut timbul isu jika anak terlibat dalam sukan membuatkan mereka tiada masa depan.

Katanya, segala-galanya bergantung kepada keinginan individu.

“Dalam sukan skuasy, amat fleksibel jika pemain mahu melanjutkan pelajaran. Kita boleh berjaya kedua-duanya.

“Tapi terpulang kepada diri masing-masing, ada yang mahu berjaya sebagai pemain profesional hingga ke tahap profesional.

“Ada yang mahu meneruskan kerjaya lain dalam masa sama terus bermain skuasy, dan ada juga yang mahu meninggalkan skuasy,” kata Sanjay yang pernah berada di ranking ke-110 dunia pada September 2015.

Sanjay ketika membimbing pemain di pentas antarabangsa.

Sanjay berkata, sebagai jurulatih, dia mahu melahirkan ramai pemain berkelas dunia.

“Sebaik saya memulakan kerjaya sebagai jurulatih, dalam fikiran saya bukan mahu lahirkan satu pemain skuasy, bukan hanya satu Datuk Nicol David, kalau boleh lima kita lahirkan lima biarpun tidak setaraf Nicol.

“Boleh diibaratkan, saya lebih rela melahirkan lima enam pemain seperti Lee Zii Jia berbanding hanya seorang Datuk Lee Chong Wei. Tapi kita perlu faham, pemain yang hebat ini datang dalam satu kitaran berbeza.

“Seperti kita sukar mencari pengganti Nicol dan Lee, sebenarnya bukan kita sahaja, seluruh dunia masih mencari bakat seperti mereka,” kata Sanjay.

Pada Kejohanan Redtone Terbuka Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14 kali ini, Sanjay membawa 57 atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dari kategoru bawah 9 tahun (B9) hingga B19 lelaki dan perempuan.

Untuk rekod, Sanjay pernah muncul juara kejohanan ini, iaitu kategori Lelaki B19, pada tahun 2012.