DANA sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan Yayasan Sime Darby (YSD) dalam usaha membangunkan sukan berbasikal trek dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.
Ia membabitkan penganjuran kejohanan Siri Trek YSD (YDST) yang akan berlangsung di Veledrom Nasional, di Nilai, Negeri Sembilan.
Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata, YSD sentiasa memberi sokongan kepada program akar umbi hingga ke peringkat elit baik dalam sukan ragbi, kriket, bola sepak, golf dan skuasy.
“Kami gembira dapat membantu menggiatkan lagi kejohanan di peringkat kebangsaan. Menerusi dana ini, Siri Trek YSD yang sebelum ini hanya mempunyai empat kejohnan akan ditingkatkan kira-kira 20 kejohanan setahun sehingga tempoh tiga tahun.
“Kita memahami faktor kekurangan kejohanan di peringkat kebangsaan membantut kemajuan prestasi dalam berbasikal trek di negara ini.
“Ini menjadikan keperluan kejohanan di peringkat akar umbi kerana di peringkat pembangunan inilah lairnya potensi junior dan elit,” kata Tunku Tan Sri Imran, selepas menyaksikan gimik penyerahan dana RM2.7 juta yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YSD, Dr Yatela Zainal Abidin kepada Pengarah Eksekutif Sports Excel, Sivanandan Chinnadurai.
Turut menyaksikan penyerahan dan pelancaran Siri Trek YSD itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengarah Prestasi Tinggi Siri Trek YSD John Beasley.
Siri Trek YSD dijangka bermula awal tahun depan menerusi 14 pusingan perlumbaan pada tahun pertama, 18 pada tahun kedua dan 20 tahun ketiga, iaitu 52 pusingan sepnjang tiga tahun.
Setiap pusingan perlumbaan akan membabitkan kategori umur bawah 15 tahun (B-15), B-17, B-19 dan atas 19 tahun, lelaki dan wanita.
Sementara itu, Hannah Yeoh berkata, sumbangan besar YSD membolehkan penganjuran banyak kejohanan dan memberi lebih peluang kepada atlet untuk bertanding.
“Sumbangan pihak korporat seperti YSD ini sangat penting buat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana kerajaan saja, tidak mampu menyedikan peluang begini,” kata Hannah.