CROATIA melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2022 selepas mengatasi Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas 120 minit permainan berakhir dengan jaringan 1-1.

Dominik Livakovic, menjadi kunci kejayaan Croatia selepas menyelamatkan banyak cubaan Neymar, Richarlison dan barisan penyerang Brazil, malah ketangkasannya menafikan penalti pertama Brazil yang diambil Rodrygo, membuktikan dirinya penjaga gol terbaik pada edisi kejohanan kali ini.

Selain Rodrygo, Marquinhos juga gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus hanya Pedro dan Casemiro berjaya menembusi gawang Livakovic.

Dominik Livakovic wira Croatia, selamatkan sepakan penalti pertama Brazil , Rodrygo untuk membolehkan Croatia menang ke atas Brazil menerusi penentuan penalti, 4-2.

Sementara di kem Croatia, Nikola Vlasic, Lovro Majer, Luca Modric, Mislav Orsic, semuanya berjaya menyempurnakan penalti.

Terdahulu, babak pertama berlangsung seimbang dan Croatia kelihatan tidak kisah membiarkan Brazil menguasai kawasan tengah permainan kerana pertahanan Croatia kelihatan bersedia menyerap tekanan serangan Samba.

Pada minit ke-54, Neymar semakin selesa gelecekan dalam usahanya mendapatkan perhatian pertahanan Croatia supaya melakukan kekasaran terhadapnya, namun tidak menjadi dan peluang untuk dia memecahkan rekod jaringan 77 gol Pele semakin menjauh.

Rembatan deras Richarlison pada minit ke-56 pula singgah tepat ke dakapan Dominik Livakaovic.

Sehingga minit ke-63, Brazil sudah empat kali melakukan cubaan tepat ke sasaran manakala Croatia belum ada perkembangan positif dan pasukan bimbingan Zlatko Dalic memerlukan perubahan strategi dan pertukaran pemain.

Neymar memperoleh satu lagi peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-77, selepas menerima hantaran dari Richarlison, namun Livakovic pantas keluar dan menyelamatkan keadaan.

Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat 90 minit tempoh sebenar permainan, dan pastinya Croatia paling gembira untuk menentukan pemenang menerusi sepakan penalti selepas melihat penjaga golnya berada di puncak prestasi.

Pemain Croatia meraikan jaringan penyamaan Bruno Petkovic pada minit ke-116.

Brazil pula pasti mahu mengelakkan penalti kerana sedar Croatia tidak pernah tewas menerusi penentuan penalti dalam aksi Piala Dunia.

Bersambung ke masa tambahan, Brazil berterusan mengancam pertahanan Croatia namun Livakovic sentiasa bersedia, sehinggalah minit terakhir separuh masa pertama, masa tambahan.

Namun gerakan 1-2 Neymar dan Paqueta cukup pantas hingga mengelirukan pertahanan Croatia sebelum Neymar melepaskan rembatan deras menerjah jaring dikawal Livakovic dan Brazil mendahului dengan satu gol.

Menyedari peluang masih terbuka dalam 15 minit babak kedua masa tambahan, Croatia memulakan dengan aksi lebih berani, menguasai bola.

Usaha mereka akhirnya berbaloi apabila Bruno Petkovic meledak jaringan penyamaan ketika usia permainan memasuki minit ke-116.

Kedudukan 1-1, dan perlawanan kini terarah kepada penentuan sepakan penalti.

Pengadil perlawanan memberi isyarat tambahan masa tiga minit selepas tamat 120 minit namun tiada tambahan jaringan, menyaksikan pemenang diputuskan menerusi sepakan penalti.