KEKALAHAN yang amat menyakitkan… begitulah perasaan jurulatih Belanda, Louis van Gaal selepas pasukannya tewas kepada Argentina di suku akhir, menerusi penentuan sepakan penalti.

Belanda bangkit dengan dua gol lewat Wout Weghorst untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan selepas Argentina mendahului 2-0 menerusi jaringan Nahuel Molina dan Lionel Messi, yang menyempurnakan sepakan penalti.

Namun Virgil van Dijk dan Steven Berghuis mengecewakan apabila sepakan penalti mereka diselamatkan Emiliano Martinez sekali gus menyaksikan Argentina menang 4-3 menerusi penentuan penalti, menempah pertembungan separuh akhir dengan Croatia.

“Kami gagal menjaringkan dua penalti pertama jadi ketika itulah keadaan menjadi amat sukar dan payah,” kata Van Gaal.

Van Gaal, 71, menjadi individu sama melatih Belanda ketika tumpas menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

“Ini kali kedua kami tewas kepada Argentina dengan cara ini. Dua Piala Dunia dengan jurulatih yang sama buat Belanda.”

Van Gaal kembali mengambil alih pasukan bagi tempoh ketiga pada Ogos 2021 selepas menjalani rawatan kanser prostat.

Oranje tidak tewas dalam 20 perlawanan di bawah kendalian Van Gaal, termasuk perlawanan pagi tadi namun beliau mengesahkan akan berundur seperti dirancang.

“Pemain saya terlalu sedih. Mereka sudah memberikan segala-galanya dan saya amat berbangga. Saya mengharungi satu tempoh yang menarik,” katanya.