PEMAIN bola sepak England pulang tanpa trofi Piala Dunia, namun tidak meninggalkan pangkalan latihan mereka dengan tangan kosong.

Pertahanan, Kyle Walker dan John Stones yang berada dalam kesebelasan Gareth Southgate ketika impian mereka musnah dek kekalahan 2-1 kepada Perancis, mengambil kucing jalanan yang bersama mereka sepanjang empat minggu di Qatar.

Stones menamakan kucing itu Dave sementara Walker yang bercadang untuk menjadikan kucing itu anak angkat dan membawanya puang ke rumah di England.

Menurut laporan The Guardian, kucing terbabit dipindahkan ke klinik veterinar tempatan sebelum dipindahkan secara percuma ke Manchester City, atau terus kepada penjagaan Stones mahupun Walker.

Inilah Dave yang akan “bertukar” status kewarganegaraan.

“Masih belum diputuskan siapa yang akan membawanya (kucing) itu pulang,” kata wanita yang dipertanggungjawabkan membawa Dave ke klinik veterinar.

“Dia hanya berada di sana pada satu hari, jadi kami baru sahaja mengambilnya untuk dipelihara, saya dan Stonesy,” kata Walker kepada saluran media rasmi FA.

ARTIKEL BERKAITAN : Netizen sifatkan kekalahan Brazil sebagai karma dan sumpahan kucing

“Dave amat dialu-alukan… Sesetengah orang tidak menyukai kucing, tetapi saya sukakannya.”

“Hari pertama kami tiba di sana… Dave muncul,” tambah Stones.

“Setiap malam dia duduk di sana menunggu makanannya.”

Kucing yang berada dalam sidang media Brazil mencuri perhatian sebelum pegawai pasukan itu mencampaknya ke bawah.

Dave bukan satu-satunya kucing yang mendapat perhatian media di Qatar.

Sebelum perlawanan suku akhir yang menyaksikan Croatia menewaskan Brazil, seekor kucing tampil dalam sidang media Brazil, duduk di atas pentas sidang media bersebelahan Vinivius Junior sebelum di campak oleh pegawai pasukan.