SETELAH menghantar pulang gergasi Amerika Selatan dari Piala Dunia, Croatia kini memburu penampilan kedua berturut-turut di perlawanan akhir apabila berhadapan Argentina dalam aksi suku akhir di Stadium Ikonik Lusail.
Kehebatan dalam penentuan penalti menyaksikan kedua-dua pasukan memenangi aksi suku akhir dengan anak-anak buah Zlatko Dalic menyingkirkan Brazil beberapa jam sebelum La Albiceleste menumpaskan Belanda menerusi cara yang sama.
Tambah menarik, skuad kendalian Dalic berjaya layak ke final Piala Dunia 2018 tanpa memenangi perlawanan peringkat kalah mati dalam masa sebenar dan kini sejarah bagaikan berulang apabila Croatia menghampiri perlawanan akhir dengan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan.
Croatia mampu muncul dalam pasukan elit yang layak ke final dua kali berturut-turut dalam kejohanan ini dengan hanya Itali, Belanda dan Jerman sahaja yang pernah layak ke final berturut-turut dan skuad Dalic mempunyai kelebihan apabila mereka tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam 10 perlawanan kalah mati.
Argentina pula tidak pernah tersingkir dari Piala Dunia apabila layak ke separuh akhir dan layak ke final setiap kali mereka sampai sejauh ini dengan kali terakhir pada 2014 sebelum tewas kepada Jerman.
Skuad kendalian Lionel Scaloni layak ke separuh akhir menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan dan berjaya menggegar jaring dalam 14 perlawanan namun kini bakal berhadapan barisan pertahanan Croatia yang mantap dan perlu diberikan perhatian oleh Messi dan rakan-rakan.
Jika perlawanan diheret ke penentuan penalti, kedua-dua pasukan mempunyai penjaga gol yang sudah terbukti handal dengan Emilio Martinez dan Dominik Livakovic masing-masing muncul hero pasukan ketika suku akhir.
Croatia dan Argentina pernah bertemu dua kali sebelum ini dalam peringkat kumpulan Piala Dunia dengan La Albiceleste menang 1-0 pada 1998 namun Croatia berjaya memenangi perlawanan di Russia 3-0 dengan beberapa pemain yang ada dalam skuad itu bersedia untuk mengulangi pencapaian itu.
Barisan kemungkinan kedua-dua pasukan:
Argentina (4-3-3): E. Martinez; Molina, Romero, Otamendi, Tagliafico; Fernandez, De Paul, Mac Allister; Di Maria, Messi, Alvarez
Croatia (4-3-3): Livakovic; Juranovic, Gvardiol, Lovren, Sosa; Modric, Brozovic, Kovacic; Pasalic, Kramaric, Perisic