KEJOHANAN Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur berakhir pada Ahad, membuktikan betapa besar kesungguhan ibu bapa mendokong minat anak-anak mereka maju dalam sukan skuasy.

Paling mencuri perhatian kecomelan juara kategori lelaki bawah 9 tahun (B-9) yang beraksi dengan penuh keyakinan ketika beraksi di final.

Syed Muhammad Arash Adamsa Syed Mohd Rashidi, hanya berusia 7 tahun muncul juara kategori B-9, menewaskan pemain dari Terengganu, Thoriq Yusuf Mohammad Nor Bakri, 11-7, 11-4, 11-4.

Arash yang didaftarkan mewakili Kedah itu, mula didedahkan kepada sukan skuasy sejak berusia empat tahun.

“Seronok main kat sini, ‘court’ dia ‘best’,” kata Arash, apabila beraksi di final yang dilangsungkan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Peringkat awal saingan B-9, berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta.

Bapanya, Syed Mohd Rashidi Sayid Ibrahim, 49, berkata, idea mendedahkan diperoleh dari rakan isterinya, iaitu keluarga pemain skuasy Aifa Azman.

“Waktu isteri saya (Fitrah Aminuddin) sedang mengandungkan Arash. Jadi sejak itu kami memang mahu dia menjadi pemain skuasy,” kata Rashidi.

Syed Mohd Rashidi (kiri) bersama Arash (tengah) dan Fitrah (kanan), di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Katanya, dia hanya meminta Arash memukul bola pada dinding rumah selama seminggu sebelum menghadiri program pemilihan pemain cilik anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) di Kedah, dan tanpa disangka anaknya yang ketika itu berusia empat tahun, terpilih.

Rashidi berkerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala isterinya Fitrah, di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagaimanapun mengakui, terpaksa melabur banyak wang demi menjadikan anaknya itu seorang bintang skuasy masa hadapan.

“Mahal juga nak persiapkan dia, malah untuk dapatkan jurulatih peribadi juga tinggi kosnya.

“Kami menggunakan jurulatih berbeza, di lokasi yang menjadi venue pertandingan tempat Arash mengambil bahagian. Sekali latihan RM80, tapi kami akan cuba usahakan untuk Arash,” kata Rashidi.

Selepas tamat perlawanan akhir, Arash menyuarakan hasrat untuk beraksi di Arena Nicol David, dan Rashidi memujuk anaknya untuk lebih cemerlang di masa akan datang bagi membolehkannya beraksi dalam arena kaca itu.