PENJAGA gol Harimau Malaya, Kalamullah Al Hafiz gembira dengan debut yang dilakukan bersama skuad kebangsaan dan dia bertambah bersemangat apabila turut mencatatkan ‘clean sheet‘ dalam kemenangan 4-0 ke atas Kemboja tempoh hari.
Kalamullah juga mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan tiga lagi penjaga gol dan dia memberikan segalanya ketika sesi latihan dan menerima segala keputusan yang akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan.
Dia juga turut mahu menggunakan kesempatan beraksi di pentas antarabangsa ini untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada selain mempelajari teknik menjaga gol dengan lebih baik.
“Saya gembira dengan penampilan pertama saya kerana dapat memberikan kemenangan kepada Malaysia. Banyak perkara yang perlu saya perbaiki dengan bekerja lebih keras dalam sesi latihan dan jika diturunkan ketika menentang Maldives, saya akan lakukan apa yang dikehendaki oleh jurulatih.
“Sememangnya ‘clean sheet‘ itu memberikan semangat tambahan buat saya kerana saya agak gementar untuk turut buat kali pertama tetapi saya tetap kekal tenang dan fokus sepanjang perlawanan.
“Kesemua penjaga gol yang dipanggil ke skuad kebangsaan kali ini mempunyai kelebihan masing-masing dan tugas saya adalah menunjukkan kesungguhan di dalam latihan dan terpilih atau tidak ke senarai akhir 23 pemain semuanya bergantung kepada jurulatih.
“Saya selesa bermain dengan kesemua pemain pertahanan yang diturunkan meskipun ini kali pertama kami bergandingan dan komunikasi antara kami sangat baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Walaupun dilihat kurang diuji barisan serangan Kemboja pada Jumaat, namun Kalamullah menegaskan dia masih perlu memberikan perhatian 100 peratus ketika perlawanan kerana setiap perlawanan adalah berbeza.
Kalamullah bersama-sama Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim dan Azri Ghani bakal merebut jersi nombor satu kebangsaan untuk menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang bakal bermula pada 21 November 2022.