PERTAHANAN negara, Azam Azmi Murad mahu menggunakan peluang pada panggilan kebangsaan kali ini sebagai medan untuknya mencabar tempat Matthew Davies di posisi pertahanan kiri negara.

Meskipun sedikit bergelut pada awalnya untuk mengikuti intensiti latihan di bawah Kim Pan Gon, namun dia kini sudah dapat mengadaptasi situasi itu dan gembira dengan komunikasi antara kesemua pemain pertahanan yang diturunkan.

Azam turut merasakan Malaysia mempunyai peluang untuk menewaskan Maldives dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Rabu kerana bermain di laman sendiri dengan sokongan pada penyokong bola sepak tempatan.

Azam ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM, pada Isnin.

“Saya perlu mengambil cabaran bermain untuk mencabar tempat Matt Davies yang sebelum ini sering diturunkan sebagai pemain pertahanan kiri meskipun pada awalnya sedikit sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan intensiti tinggi yang diamalkan oleh Kim Pan Gon.

“Fizikal saya sedikit penat tetapi segalanya baik terutama dari segi mental dengan komunikasi kami di bahagian pertahanan sangat baik walaupun baru sahaja digandingkan.

“Pemain-pemain yang dipanggil kali ini kesemua bagus kerana cepat mengadaptasi dan faham apa yang dimahukan oleh jurulatih dan berharap kami dapat kekalkan momemtum kemenangan ini ketika bertemu Maldives nanti,” katanya pada sesi latihan rasmi skuad kebangsaan.

Azam juga turut mengakui pengalaman bersama skuad Harimau Malaya ketika menghadapi cabaran King’s Cup di Chiang Mai pada Oktober banyak membantunya terutama mengatasi perasaan gementar apabila diturunkan.

Dia juga turut berkongsi bahawa skuad negara kini sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Maldives dengan barisan kejurulatihan sudah pun mengkaji kelebihan dan kelemahan lawan.

Malaysia bakal berhadapan Maldives dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu sebagai persediaan terakhir sebelum sepak mula Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada 21 November 2022.