PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Datuk Seri Dr Mohamad Norza Zakaria menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli Abd Halim, untuk menjustifikasikan dakwaannya berkaitan persatuan sukan dilanda unsur rasuah.
Menurut Norza, tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik itu, tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana selama berdekad, pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing.
“Sebagai payung kepada 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak berasas sama sekali dan tidak disokong dengan bukti.
“Sepatutnya, Adam Adli melibatkan pihak berkepentingan sebelum membuat kenyataan umum yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media.
Norza menambah, sebagai ahli politik yang dilantik ke jawatan Menteri, Adam Adli perlu sedar posisinya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, pemegang jawatan dalam NSA dipilih secara sukarela.
“Walaupun NSA tidak sempurna dan bekerja dalam kekangan, anda tidak boleh secara pukul rata memburukkan kami. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi untuk mendakwa bahawa badan sukan itu adalah korup, ia bersifat prejudis dan tidak matang,” kata Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dalam satu kenyataan media.
Dalam masa sama, Norza menegaskan bahawa beberapa NSA telah diiktiraf sebagai model persatuan yang mematuhi prinsip amalan tadbir urus yang baik.
“Gabungan NSA yang sama juga membantu meningkatkan profil sukan di negara ini dengan melahirkan atlet bertaraf dunia dalam sukan badminton, berbasikal, terjun, tenpin boling dan silat,” katanya.
Dalam sidang media pertamanya sebagai Timbalan Menteri, Adam Adli dipetik BERNAMA, sebagai berkata, arena sukan negara harus bebas daripada sebarang rasuah, ketidakcekapan dan ketirisan bagi meningkatkan mutu sukan ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu Timbalan Presiden MOM, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata adalah tidak adil bagi Adam Adli untuk membuat prasangka terhadap NSA tanpa melibatkan mereka terlebih dahulu.
“Adalah lebih baik jika Timbalan Menteri berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang kesimpulan.”
Naib Presiden MOM, yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, meluahkan kekecewaannya dengan kenyataan yang hanya boleh disifatkan sebagai populis.
“Kenyataan itu tidak menguntungkan sesiapa. Ia hanya berfungsi untuk memusuhi NSA yang kononnya pemegang kepentingan terbesar dalam persatuan sukan. Ia tidak adil bagi mereka yang telah bekerja keras dan bersusah payah siang dan malam untuk membawa kejayaan kepada sukan masing-masing.”