KEJAYAAN skuad terjun kebangsaan meraih empat pingat emas setakat ini mencerminkan kehebatan daya ketahanan mental barisan penerjun negara yang berdepan kesuntukan masa untuk menguji venue pertandingan sebelum memulakan cabaran di temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA kali ini, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, selain daya ketahanan mental yang tinggi, kejayaan itu juga dipengaruhi dengan kehadiran bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee sebagai pengurus skuad kebangsaan di temasya sukan dwitahunan ini.
Jelasnya, kehadiran Mun Yee yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan itu dilihat membantu persediaan kem terjun negara.
“Saya rasa mental atlet begitu bagus dan utamanya dapat pengurus pasukan yang merupakan bekas atlet. Mungkin semangat yang ada pada pada Datuk Leong Mun Yee memberi samangat lagi kepada barisan atlet.
“Beliau mempunyai pengetahuan mengenai sukan terjun dan kemampuan atlet yang akan bertanding,” katanya kepada media di Pusat Akuatik My Dinh.
Nur Azmi berkata, kem terjun menjadi contoh yang terbaik kerana misi dan visinya hampir tercapai iaitu sasaran lapan pingat emas, sekarang sudah 50 peratus, InsyaAllah esok (hari ini) kita akan menraikan dua lagi pingat dan esok dua.”
Sebelum ini timbul kerisauan terhadap kem terjun negara apabila berdepan kekangan hanya dapat menguji venue pertandingan di Pusat Akuatik My Dinh dua hari sebelum acara bermula. – Bernama