PERANCIS menamatkan mimpi indah Maghribi untuk beraksi di final Piala Dunia selepas mengesahkan tempat untuk mempertahan kejuaraan empat tahun lalu.
Bek kiri, Theo Hernandez meletakkan Perancis di depan hanya ketika perlawanan memasuki minit kelima permainan di Stadium Al Bayt awal pagi tadi.
Sepakan akrobatiknya dari jarak dekat dengan Yassine Bounou, menjadikannya pemain lawan pertama menjaringkan gol ketika berdepan Atlas Lions di Qatar.
Meskipun Maghribi memburu gol penyamaan namun gagal memperolehnya di babak pertama, sebelum Randal Kolo Muani mengukuhkan kedudukan Perancis apabila hanya menolak masuk bola yang dihantar kepadanya pada minit ke-79.
Kemenangan itu meletakkan Perancis di posisi terbaik mengulangi pencapaian Brazil mempertahan kejuaraan Piala Dunia pada 1962.
Another Final awaits the @equipedefrance 🇫🇷#FIFAWorldCup | #Qatar2022
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 14, 2022
Namun lawan mereka adalah Argentina di final, Ahad nanti, manakala Maghribi berdepan Croatia pada penentuan tempat ketiga dan keempat Sabtu ini.
Bagi Maghribi, kekalahan ini cukup membanggakan selepas mereka mengatasi pasukan-pasukan gergasi sehingga melakar sejarah pasukan Arab Afrika pertama ke separuh akhir Piala Dunia.
Meskipun mimpi indah ke final tidak menjadi kenyataan, namun perjalanan Maghribi ke separuh akhir tentunya momen terbaik untuk dikenang.