KISAH dongeng Maghribi berakhir dengan kekalahan kepada Perancis awal pagi tadi, sememangnya menyedihkan terutamanya dalam kalangan peminat mereka.

Namun kemampuan mara sejauh peringkat separuh akhir, mencatat sejarah sebagai pasukan pertama Afrika atau Arab, Atlas Lions sebenarnya patut berbangga.

Hal itu diakui peminat pasukan itu yang mengakui sedih namun tetap berbangga dengan seluruh pasukan yang diketuai Walid Regragui.

Selepas tamat perlawanan itu, sekumpulan penyokong melaungkan “Dima Maghrib” yang membawa maksud Maghribi selamanya.

Ada yang menyatakan impian melihat Maghribi bertemu Argentina di final, namun mereka tidak bersedih kerana tahu pemain kesayangan mereka sudah melakukan yang terbaik. -Agensi