Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin di Doha, Qatar.

Menerusi hantaran terbaru Facebook FAM pada Khamis, Hamidin turut mempersembahkan jersi Harimau Malaya yang baharu pada 13 Disember lepas kepada Seri Paduka Baginda selaku peminat nombor satu sukan bola sepak.

Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu, Seri Paduka Baginda dan Hamidin turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar terutama negara ahli Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula kelmarin.

Lawatan khas itu juga adalah atas persilaan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, sempena temasya Piala Dunia Qatar 2022.

Hamidin hadir ke Doha atas jemputan Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi menghadiri perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Dunia 2022.