PERLAWANAN akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 bakal menyaksikan pertembungan dua bintang besar kelab Paris Saint Germain yang terpaksa bermusuhan untuk merebut kejuaraan.

Kapten Argentina, Lionel Messi dan pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe telah menampilkan aksi cemerlang membantu pasukan masing-masing ke final sepanjang 24 hari kempen Piala Dunia.

Messi telah menjaringkan lima gol dengan tiga bantuan jaringan dalam 12 gol yang dijaringkan Argentina setakat ini manakala Mbappe juga telah menjaringkan lima gol dan bakal bersaing dengan Messi untuk Anugerah Kasut Emas.

 

Kedua-dua pemain ini telah bermain bersama-sama di PSG sejak Ogos 2021 dan semua pemerhati dan peminat bola sepak tahu bagaimana mereka menghormati satu sama lain.

Mbappe kini mampu untuk mengatakan dia adalah antara pemain yang terbaik di dunia dengan menjadi juara Piala Dunia sebanyak dua kali pada usia yang begitu muda.

Mengikut rekod, hanya ada 21 pemain yang pernah muncul juara Piala Dunia sebanyak dua kali dan Mbappe kini berpotensi untuk masuk ke dalam senarai ini dua hari sebelum ulang tahunnya yang ke-24.

Mbappe mengucup trofi Piala Dunia yang dimenangi pada 2018.

Dengan masa yang dilihat sangat menyebelahinya, Mbappe dilihat mampu memecahkan rekod legenda Brazil, Pele untuk memenangi tiga Piala Dunia pada masa yang akan datang.

Sebaliknya buat Messi, perlawanan Ahad ini adalah peluang terakhir baginya untuk menjulang Piala Dunia kerana dia sudah mengesahkan ini adalah kempen Piala Dunia terakhirnya.

Messi, 35 tahun bakal melengkapkan rekod gemilang dalam karier bola sepaknya jika berjaya memenangi Piala Dunia setelah meraih pelbagai trofi dan kejayaan di peringkat kelab.

Adakah ini peluang terakhir Messi atau Mbappe akan membantu Perancis memenangi Piala Dunia dua kali berturut-turut? Siapa pun pemenangnya, PSG adalah pemenang paling bertuah atas nilai komersil kelab yang bakal melonjak.