FOTO : World Squash Federation

RENTAK cemerlang Malaysia dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia dihentikan pada separuh akhir oleh pilihan utama Mesir dengan kemenangan 2-0 di Kaherah.

Pemain nombor 80 dunia,Chan Yiwen turun ke gelanggang terlebih dahulu tetapi tidak dapat menghalang pemain nombor tiga dunia, Hania El Hammamy daripada menang 11-8, 11-2, 11-5 dalam masa 23 minit.

Aifa Azman bermain dengan cemerlang tetapi No. 1 dunia, Nouran Gohar terbukti terlalu kuat dan memperoleh kemenangan 11-8, 13-11, 3-11, 11-4 dalam masa 43 minit untuk mengesahkan tempat Mesir ke final.

Perlawanan ketiga antara Rachel Arnold dan pemain No. 2 Dunia Mesir, Nour El Sherbini tidak diadakan.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu ketika Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan menduduki tempat kedua pada edisi 2014.

Dalam pertembungan separuh akhir yang lain, Amerika Syarikat menewaskan England 2-0 untuk mara ke final buat kali pertama.

Juara bertahan Mesir menentang Amerika pada perlawanan akhir pada Jumaat malam.