DUA pasukan yang bakal bersaing merebut tempat ketiga dan keempat Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan mengambil pendekatan berbeza bagi menghadapi perlawanan ini atas beberapa sebab yang tertentu.
Setelah berhempas pulas layak ke separuh akhir, kini kedua-dua pasukan terpaksa mempersiapkan pasukan untuk bermain dalam perlawanan yang disifatkan oleh ramai pemerhati bola sepak sebagai perlawanan yang tiada erti.
Buat Maghribi, persediaan mereka dilihat terjejas kerana terpaksa berhadapan dengan masalah kecederaan selain mempunyai tempoh rehat yang kurang berbanding Croatia.
A #FIFAWorldCup run that will go down in history.@EnMaroc have won the hearts of the world at #Qatar2022.
The third-place match against @HNS_CFF awaits 🥉 pic.twitter.com/ZsTMlpE4tC
— FIFA.com (@FIFAcom) December 15, 2022
Maghribi kehilangan khidmat pertahanan Nayef Aguerd sebelum perlawanan separuh akhir selain terpaksa mengeluarkan kapten pasukan, Romain Saiss dan Noussair Mazraoui ketika separuh masa pertama akibat kecederaan.
Pengendali Maghribi, Walid Regragui kini terpaksa menggunakan baki pemain yang ada dengan empat lagi pemain belum memulakan perlawanan di Piala Dunia ini dengan lima lagi pemain bermain kurang dari 80 minit dan berjanji akan memberikan mereka peluang bermain sebagai tanda penghargaan.
“Ianya akan menjadi cabaran buat pasukan saya kerana ramai pemain yang mengalami kecederaan dan juga kepenatan kerana kami telah memberikan segala-galanya. Mereka telah pergi sejauh yang mereka mampu.
“Tetapi kami mempunyai pemain yang belum bermain dan kurang minit permainan dan saya akan turunkan mereka sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka dalam kempen Piala Dunia kali ini,” katanya.
Empat dari sembilan pemain ini berusia kurang dari 26 tahun dan pengalaman bermain di Piala Dunia akan memberikan mereka keyakinan dan peluang yang baik buat mereka di masa hadapan.
Bagaimanapun untuk mengakhiri kempen di tempat keempat bukanlah sesuatu yang manis buat Maghribi yang mencipta sejarah muncul pasukan Afrika dan Arab pertama layak ke separuh akhir.
Lain pula buat Croatia yang dilihat bakal menyaksikan banyak pemain mereka seperti Luka Modric, Ivan Perisic dan Dejan Lovren akan menjadikan Piala Dunia ini sebagai Piala Dunia terakhir buat mereka selepas menjadi naib juara pada Piala Dunia FIFA Russia 2018.
“Mereka sudah mencapai pelbagai kejayaan yang menakjubkan. Mereka adalah generasi emas bola sepak Croatia. Ramai dari mereka sudah berada pada umur yang menyukarkan mereka untuk beraksi di Piala Dunia FIFA 2026,” kata pengendali Croatia, Zlatko Dalic.
Modric juga sudah mengesahkan dia tidak akan beraksi pada Piala Dunia berikutnya di Amerika Utara dan mahu mengakhiri kempen Piala Dunia ini dengan satu lagi kemenangan yang bermakna.
“Menang perlawanan ini dan pulang ke Croatia dengan medal. Kami akan berikan segala-galanya untuk memenangi pingat gangsa ini dan kami akan meraikannya bersama para penyokong sekali lagi,” kata Modric menjelang aksi tempat ketiga itu nanti.
Maghribi tewas di tangan Perancis 2-0 manakala Croatia disingkirkan Argentina 3-0 pada peringkat separuh akhir dan kini akan bermain untuk kebanggaan negara dalam perlawanan tempat ketiga pada Sabtu di Stadium Antarabangsa Khalifa.