SERGIO Busquets memutuskan untuk menggantung but daripada pasukan kebangsaan Sepanyol. Dia bersara selepas langkah La Furia Roja di Piala Dunia 2022 terhenti di suku akhir.

Busquets mengumumkan keputusannya untuk bersara daripada pasukan kebangsaan Sepanyol dengan memuatnaik di akaun Instragramnya. Dia mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberinya peluang untuk memakai jersi pasukan Matador.

Busquets memulakan kerjaya bersama Sepanyol pada April 2009 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2010.

Selepas itu, pemain tengah Barcelona itu kerap membarisi kem Sepanyol walaupun jurulatih bertukar. Busquets mencatatkan 143 caps untuk Sepanyol.

Dia menjadi pemain dengan penampilan paling banyak bersama Sepanyol selepas Iker Casillas (167 penampilan) dan Sergio Ramos (180 penampilan). Busquets membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

“Hello semua! Saya ingin mengumumkan bahawa selepas hampir 15 tahun dan 143 perlawanan, sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan,” tulis Busquets.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menemani saya dalam perjalanan yang panjang ini. Daripada Vicente del Bosque yang memberi saya peluang untuk bermula, kepada Luis Enrique yang membuatkan saya menikmatinya sehingga saat terakhir. Saya juga berterima kasih kepada Julen Lopetegui, Fernando Hierro dan Robert Moreno atas kepercayaan mereka, serta semua kakitangan mereka.”

“Dan sudah tentu, kepada setiap rakan sepasukan saya, yang telah berjuang bersama saya untuk cuba membawa pasukan ke tempat yang sepatutnya, dengan lebih atau kurang kejayaan tetapi sentiasa memberikan segala-galanya dan dengan kebanggaan yang paling besar,” sambungnya.

Busquets bersara daripada pasukan kebangsaan Sepanyol pada usia 34 tahun. Piala Dunia 2022 menjadi kempen terakhir Busquets dengan La Furia Roja. Dia gagal membawa Sepanyol jauh selepas disingkirkan oleh Maghribi menerusi sepakan penalti.