PEMAIN pertahanan negara, Fazly Mazlan menegaskan dia dan rakan sepasukan mempunyai misi yang penting iaitu mahu pergi sejauh yang mungkin dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Fazly juga gembira dengan gandingan muka-muka baharu ini dan kejayaan tidak dibolosi dalam dua perlawanan persahabatan memberikan dorongan tambahan buat para pemain terutamanya di barisan pertahanan.

Dia turut mengakui kini sudah dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan meskipun sedikit bergelut pada peringkat awal kerana corak latihan yang berbeza yang dijalaninya di kelab.

“Saya lihat kami mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan kali ini kerana semua pemain bermain habis-habisan untuk negara. Kami di kem latihan ini bukan menghabiskan masa dan untuk suka-suka tetapi kami fokus untuk pergi sejauh yang mungkin.

“Bagi saya tidak mustahil untuk kita menang sebab dalam bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku, InshaAllah jika ada rezeki pastinya kita akan menang dan barisan pertahanan semakin baik selepas kami tidak dibolosi dalam dua perlawanan persahabatan.

“Ketika ini persiapan pasukan berada pada tahap terbaik walaupun pada mulanya agak sukar untuk saya menyesuaikan diri kerana berbeza dengan ketika berlatih di kelab.

“Selepas beberapa minggu berlatih bersama Alhamdulillah kami semakin serasi dan sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Piala AFF ini,” katanya kepada media di Wisma FAM Kelana Jaya.

Fazly juga gembira kerana kesemua tujuh rakan sepasukannya dari Selangor turut terpilih dalam senarai akhir 23 pemain dan ini memberikan keyakinan tambahan buatnya kerana sudah biasa bermain bersama-sama.

Pemain yang mesra disapa BJ itu juga mengakui banyak belajar ilmu baharu pertahanan dari barisan kejurulatihan dan dia menganggap ianya bagus untuk kemajuan kariernya selepas ini.