YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Ros yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah kepada Salahuddin adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air,” katanya.
Allahyarham Salahuddin semasa zaman kegemilangannya bermain di posisi pertahanan skuad Barcelona Babes yang dibentuk khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 1990 dengan sasaran layak ke Sukan Olimpik 1992.
Allahyarham pernah mewakili skuad Pahang dan berjaya membantu skuad Tok Gajah merangkul kejuaraan Piala Malaysia 1992.
Allahyarham Salahuddin juga pernah mewakili skuad Pulau Pinang pada tahun 1994.