CROATIA pulang ke tanah air sebagai pasukan ketiga terbaik di Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selepas berjaya memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu.
Skuad kendalian Zlatko Dalic itu berjaya menduduki tempat ketiga selepas menang 2-1 dalam aksi menarik dan mendebarkan sejak dari awal hingga tamat 90 minit permainan.
Dalam aksi 10 minit pertama sungguh mengujakan para penyokong apabila Croatia membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi jaringan Josko Gvardiol sebelum disamakan oleh Achraf Dari dua minit kemudiannya.
Dua jaringan itu ternyata menaikkan lagi semangat kedua-dua pasukan untuk memburu gol kemenangan selepas mereka dikecewakan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.
Maghribi lebih banyak mengasak kubu Croatia dengan Achraf Hakimi menjadi watak penting di sebelah kanan namun secara tiba-tiba Croatia berjaya meletakkan diri mereka di depan hasil jaringan cantik Mislav Orsic untuk menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 2-1.
Bersambung babak kedua, Croatia menggandakan lagi asakan untuk mencari gol tambahan namun Maghribi kental bertahan dengan sesekali mereka menyerang menerusi serangan balas.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Croatia berjaya mendapat tempat ketiga sekaligus menyaksikan pemain legenda, Luka Modric mengakhiri kempen Piala Dunianya dengan kemenangan.
Maghribi pula terpaksa akur dengan kekalahan ini dan berpuas hati di tempat keempat namun mereka sudah pun mencipta sejarah tersendiri dan menjadi juara di hati para penyokong dalam Piala Dunia kali ini.