BAHANG perlawanan akhir Piala Dunia malam ini turut dirasai oleh jurulatih-jurulatih tempatan yang rata-rata berbeza pendapat tentang pasukan mana yang bakal membawa pulang Piala Dunia yang cukup berprestij itu.

Pertembungan antara Argentina dan Perancis yang akan disaksikan berbilion masyarakat seluruh dunia bakal menobatkan sama ada Lionel Messi akhirnya melengkapkan trofi dalam karier gemilangnya atau Kylian Mbappe muncul pemain muda pertama meraih Piala Dunia dua kali berturut-turut.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya Bawah 19 Tahun Hassan Sazali Waras memilih Perancis sebagai juara kerana pada pendapatnya skuad Les Blues mempunyai kekuatan di semua bahagian selain status sebagai juara bertahan.

“Saya memilih pasukan Perancis kerana mereka mempunyai kekuatan di setiap posisi. Tunjang utama bagi pasukan ini adalah di bahagian tengah di ketuai oleh Antoine Griezman dan Adrian Rabiot selain sayap kiri dan kanan menerusi Kylian Mbappe dan Moussa Dembele yang sering membuat larian-larian pantas di bahagian serangan”, kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Berlainan pula pendapat penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin yang memilih Argentina untuk muncul juara dengan mengatakan ini adalah “Messi Time”.

“Messi sudah memenangi pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan negara dengan hanya Piala Dunia yang belum dijulangnya dan berdasarkan prestasi di kejohanan ini, ini adalah “Messi Time”, katanya.

Nada yang sama dikongsi penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang menyatakan inilah peluang terbaik untuk Argentina kembali muncul juara Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya pada 1986.