KETUA pasukan skuad Harimau Malaya, Faisal Halim sedar akan kesukaran yang bakal dihadapi ekoran kepadatan jadual Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 namun baginya ini adalah cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain bola sepak.

Faisal juga percaya bahawa rakan sepasukannya sudah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu.

Dia juga mahu semua pemain kekal fokus tanpa mengira siapa pun lawan yang bakal dihadapi dan mahukan tiga mata pada perlawanan pertama ini kerana ianya berjaya mengurangkan sedikit tekanan pada perlawanan kedua.

“Kita sedar jadual agak padat dan jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan dan bagi kami sebagai pemain, kami hanya perlu beri tanggungjawab yang betul serta memberikan komitmen yang baik terhadap pasukan.

“Ketika beraksi dalam Liga Super juga jadual sangat padat namun perlawanan antarabangsa lebih sukar kerana perlawanan lebih pantas tetapi ini adalah cabaran buat kami sebagai pemain.

“Kami sudah diuji dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini dan kami dapat berikan aksi yang baik dan saya percaya rakan-rakan sudah bersedia dan tidak sabar untuk perlawanan pertama.

“Para pemain tidak memikirkan tentang jumlah jaringan sebaliknya kami hanya fokus untuk membawa pulang tiga mata dan bermain tanpa tekanan. Kami perlu bekerja keras dalam perlawanan pertama ini kerana ianya akan menentukan kekuatan sebenar pasukan dan keputusan positif akan membantu kami bermain tanpa tekanan pada perlawanan kedua nanti.

“Tiada masalah dari sudut keserasian kerana kami sudah empat minggu bersama dan ini adalah masa terbaik untuk kami buktikan kami layak untuk berada dalam skuad negara dan saya harap karektor pasukan semakin kuat tanpa mengira siapa lawan.

“Semua tidak sabar untuk beraksi dan siapa yang mendapat peluang perlu berikan yang terbaik dan perlu gunakan peluang ini sebagai batu loncatan buat karier masing-masing,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Malaysia bakal beraksi di Yangon tanpa kehadiran penyokong kerana sekatan yang dikenakan pihak berkuasa Myanmar dan Faisal menganggap ianya adalah satu kelebihan kerana kurang tekanan dari pihak lawan dan dia yakin Harimau Malaya mampu membawa pulang tiga mata.

Harimau Malaya bakal memulakan cabaran di Piala AFF pada Rabu dengan bertemu Myanmar sebelum berhadapan Laos, Vietnam dan Singapura dalam aksi Kumpulan B kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara.