BRUNEI Darussalam berjaya layak ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 selepas kali terakhir melakukannya pada 1996 dan kini mereka mahu membuktikan pasukan kecil ini mampu bersaing bersama-sama pasukan ASEAN yang lain.
Perkara ini diperkatakan oleh kapten pasukan, Hendra Azam yang turut mengakui mereka sedar akan tahap permainan mereka namun kesemua pemain bersemangat untuk memberikan yang terbaik buat rakyat Brunei.
Pemain kelab DPMM FC itu juga tidak menghadapi masalah untuk membentuk keserasian bersama pemain lain kerana mereka sudah biasa bermain bersama di peringkat kelab dan kini akan cuba menyaingi Thailand dalam perlawanan pada Selasa.
“Kesemua pemain bersemangat dan sudah bersedia untuk perlawanan esok kerana ini adalah peluang buat kami membuktikan kami mampu bersaing dengan pasukan ASEAN yang lain.
“Kami tidak mempunyai masalah tentang keserasian dan apa yang perlu kami lakukan adalah cuba menyaingi tahap permainan Thailand kerana kami sedar tahap kami di mana dan kami perlu lakukan sesuatu dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Sementara itu pengendali Brunei Darussalam, Mario Rivera berkata persiapan yang dapat dilakukan adalah berdasarkan apa yang mereka ada dan gembira kerana para pemainnya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan.
Pelatih dari Sepanyol itu juga mengakui mereka hanya fokus kepada diri mereka sendiri walaupun berhadapan cabaran besar menghadapi Thailand dan bermain sebaiknya kerana mereka tidak akan rugi apa-apa pun.
“Persiapan pasukan berjalan baik dengan apa yang kami ada dan pemain bersemangat untuk beraksi meskipun sudah hampir tiga tahun tidak beraksi dalam liga. Pemain menunjukkan komitmen dalam latihan dan saya harap kami dapat lakukan sebaik mungkin.
“Thailand adalah satu pasukan yang bagus. Kami hanya fokus kepada diri kami untuk menghadapi cabaran yang besar ini kerana kami tidak akan kerugian apa pun dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media yang sama.
Rivera turut mengakui lebih baik jika mereka dapat bermain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri di Brunei tetapi ianya tidak akan mengurangkan motivasi pemain kerana mereka akan menentang juara bertahan dan ini adalah motivasi terbesar buat mereka.
Brunei akan mencipta sejarah pada Selasa apabila kembali bersaing dalam kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara namun Thailand adalah lawan yang bukan mudah untuk ditewaskan.