KETUA Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengakui tiga mata penuh sangat penting dalam aksi pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 meskipun terpaksa berhadapan lawan paling sukar dalam Kumpulan B, Myanmar.

Bercakap ketika sidang media pra perlawanan di Stadium Thuwunna, Pan-gon memberitahu bahawa pasukannya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kejohanan ini dan akan memberikan aksi terbaik buat penyokong Malaysia.

Bagaimanapun dia mengakui tidak mudah untuk beraksi di laman lawan namun dia hanya memikirkan tentang pasukannya dan tidak mempedulikan keputusan perlawanan lepas melibatkan kedua-dua pasukan.

“Sangat penting untuk mendapat tiga mata penuh pada perlawanan pertama. Dalam kumpulan kami, Myanmar adalah pasukan terkuat dan sangat penting buat kami untuk membawa pulang tiga mata dari Myanmar.

“Kami mempunyai sasaran tersendiri dan akan melakukan yang terbaik untuk mencapainya. Apa yang penting, semua pemain tahu akan kepentingan tiga mata ini dan kami akan berjuang sehabis baik untuk mendapatkannya.

“Kami telah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini dan juga untuk perlawanan pada Rabu. Kesemua pemain berada dalam keadaan cergas dan yakin dan mahu mempamerkan aksi yang baik untuk memberikan keputusan yang menggembirakan penyokong bola sepak Malaysia.

“Kami juga sedar bahawa bermain di tempat lawan sentiasa sukar kerana pasukan tuan rumah akan menggunakan kelebihan yang ada. Namun kami tidak peduli dengan keputusan lalu dan hanya fokus kepada diri kami.

“Pasukan ini adalah pasukan yang kuat dan sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Para pemain dahagakan kemenangan dan akan berikan yang terbaik pada perlawanan ini,” katanya dalam sidang media itu.

Pan-gon juga tidak mahu membincangkan isu padang latihan yang tular di laman sosial kerana berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan mahu semua pihak tidak mengkritik dan menghormati apa yang dimiliki dan diberikan oleh Myanmar FA ketika ini.

Turut hadir dalam sidang media yang sama adalah kapten pasukan, Safawi Rasid yang bersetuju dengan Pan-gon tentang persiapan pasukan dan gembira dengan semangat rakan sepasukan dan percaya mereka mampu untuk membawa kembali trofi AFF ini ke Malaysia.

“Persiapan kami sangat baik dan kami sudah bersedia untuk memberikan segala-galanya buat negara. Tahun ini semua yang terlibat dalam pasukan ini mempunyai misi yang besar iaitu untuk memenangi trofi ini.

“Kami akan lakukan yang terbaik dan skuad ini mempunyai semangat yang baik dan kami percaya kami mampu lakukannya kali ini,” jelas Safawi yang melakukan penampilan ketiganya dalam kejohanan Asia Tenggara ini.

Meskipun tidak dapat mengumpulan kesemua pemain terbaik negara akibat beberapa keadaan yang melanda, Pan-gon gembira dengan skuad Harimau Malaya ini dan dia percaya kesemua pemain akan memberikan aksi terbaik buat negara.

Malaysia bakal bertemu Myanmar pada Sabtu untuk aksi pembukaan sebelum berhadapan Laos di Bukit Jalil, Vietnam di Hanoi sebelum mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan bertemu Singapura di Bukit Jalil awal tahun hadapan.