KEJUTAN di lewat petang, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) membubar penubuhan persatuan itu dalam mesyuarat tergempar, hanya beberapa jam selepas Persatuan Sepak Takraw Perlis PSTPs) menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka mengadakan perbincangan dalam kalangan empat badan induk negeri yang masih bernaung di bawah mereka iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Selepas berbincang, kami bersetuju dan memutuskan Mastaf hendaklah dibubarkan. Pembubaran itu perlu diadakan serta-merta demi kebajikan pemain, pembangunan dan masa depan sukan sepak takraw negara,” katanya, dalam satu sidang media tergempar di salah sebuah restoran, di ibu negara.
Sebelum itu, PSTPs membuat keputusan keluar daripada Mastaf berkuatkuasa, semalam dan hari ini Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan dalam sidang media disertai Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad, memaklumkan peletakan jawatannya sebagai penolong Setiausaha Agung Mastaf.
Apabila sudah hilang kepercayaan…
Persatuan Sepak Takraw Malaysia ❌
Persekutuan Sepak Takraw Malaysia ☑️https://t.co/8lGRiCBxdm pic.twitter.com/q2HREfewgX— Flash Sukan (@FlashSukan) December 20, 2022
“Sebenarnya penubuhan Mastaf ini bukan atas dasar suka-suka, ia selepas PSM dilucutkan keahlian oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).
“Dengan itu, tertubuhlah Mastaf. Selepas hampir tujuh bulan PSM tidak diiktiraf, kami sudah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk memastikan Mastaf mengambil alih peranan menguruskan sukan sepak takraw negara ini. Sebahagian besar perundingan adalah inisiatif Pesuruhjaya Sukan (PJS).
“Kerana tidak mahu sukan sepak takraw terganggu baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Kami terus mengadakan perbincangan termasuk 8 Disember lalu, dan sepatutnya duduk semeja pada 23 Disember ini (Jumaat). Saya melihat PSM tidak serius dalam perbincangan mengenai sukan sepak takraw. Oleh itu kami dengan rasa rendah diri dan berbesar hati, demi kebajikan atlet serta pembangunan sepak takraw dengan rela hati membubarkan Mastaf.
“Kami (Mastaf) menyerahkan mana-mana entiti yang akan jadi ahli baru Istaf dan Astaf selepas ini. Kami terpaksa membuat keputusan seperti hari ini selepas Perlis antara negeri paling kuat dalam penubuhan Mastaf bertindak keluar dengan menyertai semula PSM,” kata Suhaili.
Difahamkan esok (Rabu) PSM akan mengadakan sidang media bersama Astaf, namun butiran mengenai perbincangan antara kedua-dua badan itu masih belum diketahui.
Artikel berkaitan:
Persatuan Sepak Takraw Perlis kembali sertai PSM yang kini dijenamakan semula