JUARA bertahan Piala AFF, Thailand dipaksa bekerja keras oleh Brunei Darussalam sebelum memperolehi kemenangan pertama 5-0 dalam aksi Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Hadir dengan reputasi besar dan dibarisi beberapa pemain berpengalaman, Thailand dilihat sedikit bergelut walaupun dilihat menang dengan kemenangan besar dengan skuad Brunei Darussalam menunjukkan semangat juang yang tinggi.

Penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah wajar diberikan pujian apabila beraksi cemerlang dengan banyak kali menafikan percubaan berbahaya Thailand hingga mendapat pujian kapten pasukan Thailand, Teerathon Bunmathan.

 

Brunei mempamerkan aksi memberangsangkan di bawah kendalian Mario Rivera dengan kini semakin yakin memegang bola dan bertahan sebagai satu unit yang jelas dapat mengecewakan barisan serangan Thailand.

Bagaimanapun Thailand berjaya menambah tiga lagi gol dalam masa empat minit bermula pada minit ke-88 untuk kemenangan 5-0 untuk memberikan tiga mata pertama namun keputusan ini tidak menggambarkan keadaan perlawanan sebenar.

Pengendali Brunei, Mario Rivera berkata pasukannya sudah memberikan persembahan maksimum dan keletihan pada penghujung perlawanan menyaksikan mereka dibolosi tiga gol namun dia tidak kecewa dengan para pemainnya.

“Kami sudah berikan persembahan maksimum yang kami mampu berikan dan pemain sudah kepenatan pada penghujung perlawanan kerana kami kekurangan minit permainan namun saya tidak kecewa malah berbangga dengan aksi para pemain dan tidak sabar untuk perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Thailand, Mano Polking pula berkata dia gembira dengan persembahan anak-anak buahnya dan sekarang perlu fokus untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang ada.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan dan sepeti biasa perlawanan pertama sentiasa sukar namun akhirnya berjaya menang. Kini kami akan berehat dan bersedia untuk menentang Filipina pada 26 Disember dan akan memperbaiki segala kelemahan yang dapat dikesan terutama bahagian penyudah,” katanya.

Kemenangan ini meletakkan Thailand di tangga teratas Kumpulan A dan akan berehat pada hari perlawanan kedua manakala Brunei akan menggunakan pengalaman dalam perlawanan ini sebagai semangat untuk bertemu Filipina di Manila pada Jumaat.