PENYERANG Tottenham Hotspur, Richarlison akan menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) selepas mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili Brazil dalam kempen Piala Dunia ketika pasukan itu tewas kepada Croatia.
Jurulatih, Antonio Conte berkata, selain Richarlison, Spurs turut berdepan masalah kecederaan beberapa pemain lain yang beraksi di Piala Dunia termasuk Rodrigo Betancur (Uruguay) dan Ben Davies (Wales) telah kembali ke kem latihan, dan Betancur dijangka dapat beraksi 1 Januari depan ketika menentang Aston Villa.
“Ben Davies kelihatan baik sejak mula menjalani latihan minggu lalu, dia sudah pulih. Rodrigo pula mula berlatih dan saya rasa dia akan bersedia pada perlawanan menentang Aston Villa,” kata Conte.
“Richy pula, esok dia akan jalani MRI untuk kita tahu sejauh mana keederaan dialaminya, Selepas itu, kita akan lihat bagaimana dia dapat kembalikan kecergasan.”
Richarlison menjaringkan tiga gol buat Brazil dalam kempen di Qatar sebelum mengalami kecederaan, enam minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan ketika menentang roatia, yang memenangi perlawanan suku akhir, menerusi penentuan penalti.
Tottenham kini berada di tangga keempat Liga Perdana, akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Nice dari Ligue 1, malam ini, sebelum memulakan saingan Liga Perdana menentang Brentford, Isnin depan.