KETUA Jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon berpuas hati dan gembira dengan kemenangan yang dicapai ke atas Myanmar dan menganggap nasib juga menyebelahi skuadnya.
Dia juga gembira kerana berjaya mencapai sasaran awal iaitu memenangi perlawanan pertama di tempat lawan dan kini akan mula fokus kepada perlawanan seterusnya menentang Laos.
Pan-gon juga tidak mahu menganggap dirinya mempunyai magis apabila berjaya membawa Malaysia mendapatkan beberapa keputusan yang baik sebaliknya menghamburkan pujian kepada para pemainnya.
“Pertama sekali tahniah kepada Harimau Malaya atas persembahan yang baik. Aksi separuh masa pertama agak tidak menjadi kerana cuaca yang panas dengan keadaan padang yang tidak berada dalam keadaan yang sempurna.
“Seperti dijangka ianya adalah satu perlawanan yang sukar tetapi kami bermain baik dan nasib juga menyebelahi kami. Ini adalah permulaan yang baik kerana kita dapat tiga mata di tempat lawan dalam perlawanan pertama serta ianya menepati sasaran awal kami dan kini akan fokus kepada perlawanan seterusnya.
“Segala kejayaan dan kemenangan ianya bukan tentang magis Pan-gon tetapi pemain berikan segala-galanya berdasarkan apa yang saya mahukan. Saya hanya jurulatih yang memberi tunjuk ajar kepada mereka dan semua pemain mempunyai mentaliti yang kuat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya tentang taktikal yang digunakan dalam perlawanan ini, Pan-gon menjelaskan segalanya bergantung pada pasukan yang ditemui dan perlawanan menentang Laos nanti juga taktikal yang lain akan diterapkan.
Dia juga masih belum boleh mengesahkan tahap kecederaan yang dialami pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee kerana dia belum berbincang dengan pasukan perubatan.
Malaysia berjaya menamatkan badi kemenangan di Yangon apabila berjaya menewaskan Myanmar 1-0 menerusi jaringan tunggal Faisal Halim pada separuh masa kedua untuk memberikan tiga mata dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.