PERTAHANAN skuad kebangsaan, Fazly Mazlan berkata semua pemain dalam skuad Harimau Malaya sentiasa bersedia untuk diturunkan dan melakukan yang terbaik buat pasukan.
Dia yang masuk pada penghujung babak pertama menggantikan Khuzaimi Piee yang tercedera dilihat selesa beraksi dan membentuk gandingan mantap bersama Sharul Nazeem di bahagian pertahanan tengah.
Kehadiran Fazly di dalam skuad Kim Pan Gon menambah kestabilan pertahanan terutama apabila berlaku kecederaan terhadap pemain utama yang baginya adalah perkara biasa dalam bola sepak.
“Kami telah berada lama dalam ken latihan dengan sentiasa membuat persiapan dan siapa yang main atau di luar harus bersedia untuk dimasukkan kerana kecederaan boleh berlaku dan kami perlu bersedia serta berikan segalanya untuk setiap perlawanan.
“Ketika saya dimasukkan, perlawanan sedang berada pada tahap intensiti yang tinggi. Tekanan semakin memuncak apabila Myanmar ketinggalan. Tekanan itu ada tetapi kita dapat atasinya dengan baik kerana kami sudah bersedia dan sanggup lakukan apa saja demi pasukan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan di Yangon.
❌ A penalty save worth 3️⃣ points
Take a bow, Syihan Hazmi 🙌#AFFMitsubishiElectricCup2022 | #BeTheGameChanger | #MYAvMAS pic.twitter.com/SWC9hoy63S
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 21, 2022
Ditanya apakah yang bermain di fikirannya ketika Myanmar mendapat penalti pada minit akhir perlawanan, Fazly berkata dia sudah reda namun rezeki kemenangan masih menjadi milik skuad kebangsaan dan kini mereka bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.
“Saya memang reda dengan penalti itu kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh jadi tetapi syukur Alhamdulillah rezeki kemenangan masih buat kami dan untuk perlawanan bertemu Laos siapa pun yang diturunkan nanti akan lakukan yang terbaik untuk meraih tiga mata,” katanya.