TERENGGANU FC berhasil memperkuat jentera serangan mereka dengan membawa masuk penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn.
Kehadiran penyerang skuad Gajah Perang berusia 31 tahun itu dilihat dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre selepas disingkirkan pengurusan Sang Penyu.
Keputusan tersebut jelas merealisasikan impian bekas penyerang Port FC itu beraksi di luar negara berikutan penyerang berbisa Thailand itu dilihat telah mengecapi banyak kejayaan di peringkat domestik dan mahu menguji dirinya beraksi di liga luar.
“Jika saya mempunyai peluang untuk beraksi di luar negara, saya mahu mencuba beraksi di Malaysia ataupun Vietnam. Tidak semestinya di Jepun seperti beberapa pemain Thailand yang lain. Saya mahu beraksi di luar negara kerana mahu mencuba budaya baharu. Saya benar-benar mahu melakukannya sebelum saya menggantung but,” katanya.
สวัสดี 🙏 🏴🏳️#AdisakKraisorn9#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/HMJjiwugwZ
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) December 22, 2022
Kraisorn juga turut menggondol anugerah Kasut Emas pada Piala AFF edisi 2018. Pengalaman Kraisorn pastinya ditagih bagi membantu pemain-pemain skuad Penyu menggalas cabaran Liga Malaysia musim depan.
Kraisorn hadir dengan reputasi besar. Dia bukan saja pernah memenangi Liga Thai 1 (2011, 2013, 2014 dan 2016), Piala Liga Thai (2011, 2012, 2013, 2016 dan 2017) dan Piala FA Thai (2011, 2012 dan 2013) bersama Buriram United dan Muangthong United.
Malah, dia juga turut membantu skuad Gajah Perang menang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Piala AFF sebanyak dua kali (2014 dan 2020).
Kraisorn ketika ini bersama pasukan Thailand bagi menghadapi saingan Piala AFF 2022 dengan langkah kanan apabila mencipta kemenangan besar 5-0 ke atas Brunei Darussalam pada aksi pertama peringkat kumpulan A Piala AFF.