PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan memberikan keutamaan kepada langkah untuk kembali menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan SepakTakraw Asia (ASTAF) sebelum memikirkan rayuan permohonan pengurangan hukuman ke atas mantan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail.

Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat sebelum ini dikenakan hukuman pengantungan 17 tahun selepas didakwa melanggar beberapa peraturan yang digariskan badan induk sepak takraw Asia itu.

Namun hukuman tersebut seakan-akan terlerai apabila Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Halim Kader menjelaskan baik ISTAF mahupun ASTAF tidak pernah sesekali menutup peluang buat Tok Mat kembali dalam sukan sepak takraw malah mengalu-alukan permohonan rayuan pengurangan hukuman.

Bagi Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan (gambar) berkata, tumpuan kini adalah untuk memastikan badan induk sepak takraw kebangsaan itu kembali dalam gabungan ISTAF dan ASTAF.

“Kita selesaikan dahulu PSM buat masa ini,” katanya ringkas ketika ditemui FLASH SUKAN.

Ditanya kemungkinan permohonan rayuan pengantungan Tok Mat akan dibincangkan dalam mesyuarat sebaik sahaja urusan permohonan PSM sebagai ahli gabungan ISTAF dan ASTAF selesai dengan ringkas Sumali menjelaskan media akan dimaklumkan nanti.