PETALING Jaya City FC berjaya mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Selasa malam.

Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import Cameroon, Wanja Ronald Ngah pada minit ke-20 permainan.

Tersentak dengan jaringan itu, PJ City FC kembali memperkemas serangan dan berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-29 menerusi Darren Lok menampan kemas bola sekaligus menyamakan kedudukan.

Ronald Ngah kembali meletakkan KDA FC di hadapan pada minit ke-33 menerusi sentuhan berbisanya untuk gol kedua pelawat.

Babak kedua menyaksikan KDA FC terus bernafsu menambah jaringan hasil larian solo Ronald Ngah yang mengelirukan penjaga gawang sebelum menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-65 sekaligus mencipta hatrik pada perlawanan malam ini.

Enggan mengalah, Ruventhiran mengambil sepakan percuma dengan membuat hantaran silang yang disempurnakan Mahali Jasuli pada minit ke-77 menerusi tandukan tepat menerjah jaring lawan sekaligus merapatkan jurang gol.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat pasukan tuan rumah, PJ City FC dengan jaringan ketiga pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma yang diambil Kogileswaran serta ditanduk kemas Khyril Muhymeen Zambri untuk mengikat pasukan KDA FC 3-3.

Kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat menyaksikan KDA FC terlepas peluang berada di puncak liga selepas hanya berjaya mengutip satu mata dan berada di tempat ke-2 sementara PJ City FC menghuni tangga ke-7 liga dengan 8 mata.