NOVA Widianto yakin dia mampu membawa pemain negara dalam acara itu ke satu tahap yang lebih tinggi termasuklah dalam misi memburu pingat emas Sukan Olimpik.
Nova, 45, yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini, berkata, barisan pemain negara memiliki kualiti, dan dia hanya perlu menyuntik sedikit sentuhan ‘magis’ bagi membawa mereka mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
“Mungkin sekarang kita nampak (prestasi) agak menurun (dalam acara beregu campuran) tetapi perlu diingat Malaysia pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Jadi, kita perlu berusaha sedikit lagi untuk mencapai emas.
“Sebelum ini, saya lihat apa yang menyukarkan Malaysia adalah mungkin disebabkan tiada sejarah kejayaan. Namun, sekarang dalam acara beregu lelaki pun kita sudah mempunyai juara dunia dan ini pastinya akan menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan pemain lain,” katanya, yang hanya akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari ini.
Nova tiba di Malaysia dengan reputasi yang tinggi susulan pencapaiannya diraihnya selaku ketua jurulatih beregu campuran Indonesia sebelum ini termasuklah membantu pasangan Tontowi Ahmad-Liliyatna Nasir memenangi emas pada Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan mereka menewaskan Peng Soon-Liu Ying di pentas final.
Nova juga berjaya mentranformasi dua pasangan muda Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas dan Rehal Naufal-Lisa Ayu Kusumawati yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik dunia.
ARTIKEL BERKAITAN : Nova Widianto ambil mood awal ke ABM, lihat sesi latihan skuad badminton beregu negara
Ketika bergelar pemain, Nova dua kali muncul juara dunia beregu campuran bersama pasangannya Liliyana pada edisi 2005 dan 2007 selain mereka turut memenangi pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008.
Nova berkata, pada peringkat awal, beliau akan fokus kepada membantu dua pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dia mengakui bukan tugas mudah apabila kedua-dua pasangan muda negara itu perlu bersaing dengan dua beregu profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.