PEMAIN muda kebangsaan, Haqimi Azim Rosli berjaya mengenepikan rasa gugup dan berdebarnya apabila diberikan peluang beraksi dengan mempamerkan aksi menakjubkan pada debutnya bersama skuad Harimau Malaya.

Haqimi bukan sahaja melakukan debut malah berjaya menjaringkan gol hanya lima minit selepas dia dimasukkan dan turut mencatatkan bantuan jaringan untuk melengkapkan penampilan pertama yang cemerlang bersama skuad kebangsaan.

Dia turut mengakui berasa bangga dan sukar untuk bermain dengan pemain-pemain senior dan berazam untuk berkerja lebih kuat kerana sedar dirinya masih muda dan mempunyai karier yang masih panjang.

“Syukur Alhamdulillah atas penampilan pertama dan berjaya jaringkan gol pertama dan juga ‘assist‘ pertama. Saya berpuas hati dengan persembahan saya namun perjalanan masih panjang. Terima kasih kepada jurulatih sebab percaya yang saya boleh lakukan meskipun hanya bermain 20 minit, saya berikan 100 peratus dan berikan aksi sebaik mungkin.

“Perasaan saya gugup dan berdebar apabila diminta oleh jurulatih untuk masuk kerana pertama kali bermain di stadium yang dipenuhi ribuan penyokong namun saya ketepikan semua itu dan memberikan apa yang saya mampu lakukan.

“Saya tidak perasan saya hanya perlukan lima minit kerana gol itu datang secara tiba-tiba tetapi banyak lagi perlu saya belajar tentang ‘finishing‘. Saya masih muda baru 19 tahun dan masih tidak menyangka saya dapat menjaringkan gol dan melakukan bantuan jaringan.

Haqimi meraikan jaringan debutnya bersama skuad kebangsaan.

“Agak sukar untuk beraksi bersama pemain senior kerana sebelum ini saya melihat mereka di televisyen atau di stadium tetapi kini saya bermain satu pasukan dengan mereka. Namun saya berbangga dapat belajar daripada mereka kerana saya perlu kerja lebih keras untuk pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Haqimi turut mengucapkan terima kasih kepada keluarganya yang tidak berhenti memberikan sokongan dan dia bersedia jika diturunkan untuk menentang Vietnam meskipun sedar lawan seterusnya adalah lawan yang kuat dan akan berikan sebaik mungkin.

Haqimi sebelum ini telah membantu kelabnya, Kuala Lumpur City FC muncul naib juara Piala AFC dan berjaya memikat perhatian Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon untuk disenaraikan dalam skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 kali ini.

Satu jaringan serta satu bantuan jaringannya memberikan Malaysia kemenangan selesa 5-0 ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan B sekaligus menduduki tangga teratas kumpulan dengan enam mata.